EKONOMI

MALAYSIA YAKIN LONJAK PERDAGANGAN DUA HALA DENGAN UZBEKISTAN

21/06/2025 03:15 PM

Daripada Siti Radziah Hamzah

TASHKENT, 21 Jun (Bernama) -- Malaysia yakin dengan potensi peningkatan perdagangan dua hala dengan Uzbekistan, apabila kedua-dua negara giat memperkukuh kerjasama dalam bidang baharu seperti pensijilan halal, kewangan Islam, pelancongan dan teknologi hijau.

Dalam temu bual bersama Bernama dan RTM di sini, Duta Malaysia di Uzbekistan Ilham Tuah Illias mengakui berlaku penurunan jumlah perdagangan baru-baru ini terutama disebabkan cukai import ke atas minyak sawit.

Bagaimanapun, beliau menyatakan keyakinan terhadap kemungkinan peningkatan semula.

“Kita berharap perdagangan akan meningkat semula sekiranya kedua-dua kerajaan bersetuju untuk mengecualikan atau terus mengecualikan cukai import ke atas minyak sawit Malaysia. Ini akan membolehkan peruncit Uzbekistan kembali mendapatkan bekalan minyak sawit dari Malaysia,” katanya.

Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia-Uzbekistan mencecah RM369.8 juta (US$80.9 juta), menjadikan Uzbekistan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Tengah.

Imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia dengan RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Bagi tahun ini, dari Januari hingga April, perdagangan dua hala ini telah mencapai RM106 juta (US$25 juta).

Eksport utama Malaysia ke Uzbekistan termasuk minyak sawit, kopi, oleokimia berasaskan sawit, marjerin dan lelemak, makanan terproses dan minyak kelapa, manakala import dari Uzbekistan terdiri daripada baja, buah-buahan dan tekstil.

Ilham Tuah berkata cukai 5.0 peratus ke atas minyak sawit Malaysia sedang dikaji semula oleh pihak berkuasa Uzbekistan justeru pengecualian berterusan boleh melonjakkan eksport Malaysia.

“Kita berharap langkah ini akan menggalakkan pembeli Uzbekistan untuk terus mendapatkan bekalan dari Malaysia. Perbincangan antara pihak berkuasa berkaitan kedua-dua negara amat penting untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan,” katanya.

Beliau berkata usaha untuk meningkatkan kesedaran awam di Uzbekistan mengenai manfaat kesihatan minyak sawit juga penting.

“Kita mesti terus mendidik rakyat Uzbekistan mengenai nilai nutrisi minyak sawit dan menangkis naratif negatif yang disebarkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Bagi sektor pelancongan, Ilham Tuah berkata lebih 15,000 pelancong Uzbekistan telah berkunjung ke Malaysia tahun lepas -- peningkatan ketara daripada prestasi beberapa tahun sebelum itu -- didorong oleh kesambungan penerbangan yang lebih baik, termasuk penerbangan terus oleh Batik Air dan Uzbekistan Airways.

“Kesambungan penerbangan yang lebih baik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong malah juga penuntut dari Uzbekistan. Ramai yang tertarik dengan pantai-pantai di Malaysia kerana Uzbekistan merupakan negara yang dikelilingi daratan,” katanya.

Beliau berkata kalangan rakyat Malaysia semakin berminat dengan Uzbekistan, khususnya untuk pelancongan kerohanian.

“Ramai rakyat Malaysia melawat Uzbekistan khususnya atas sebab kerohanian. Mereka gemar mengunjungi Makam Imam Al Bukhari yang kini sedang dalam proses pengubahsuaian. Apabila siap, makam itu dijangka menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ilham Tuah berkata Uzbekistan amat berminat dengan pensijilan halal Malaysia, dan memaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan pihak berkuasa berkaitan di Uzbekistan bagi memperkukuh usaha pensijilan halal.

“Kerjasama ini akan membantu produk tempatan memenuhi piawaian halal Malaysia, sekali gus membuka akses ke pasaran yang mengiktiraf pensijilan kita,” katanya.

Bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan, kedua-dua negara kini sedang meneroka kemungkinan mewujudkan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA).

Ilham Tuah berkata menerusi rangka kerja sedemikian, Malaysia boleh menghantar barangan separa siap untuk pemprosesan akhir di Uzbekistan, yang mempunyai akses ke pasaran Kesatuan Eropah dan Eurasia.

“Usaha ini adalah situasi menang-menang. Kita sedang aktif dalam usaha mempertimbangkan perjanjian perdagangan keutamaan antara Malaysia dan Uzbekistan. Jadi, agensi berkaitan di kedua-dua negara perlu bertemu untuk berbincang dan meneliti perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Beliau berkata selain itu permintaan terhadap barangan pengguna halal dan fesyen Muslimah juga semakin meningkat.

“Fesyen Muslimah semakin mendapat sambutan di sini. Jadi, saya galakkan usahawan wanita Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan niaga mereka di sini. Terdapat permintaan yang tinggi terhadap fesyen Muslimah, kosmetik dan produk halal di sini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan