ALOR GAJAH, 21 Jun (Bernama) -- Bidang kulinari kini bukan sahaja bertumpu pada evolusi dan inovasi menu, kaedah dan bahan masakan namun turut meliputi aspek peralatan yang digunakan di dapur.
Presiden Persatuan Cef Melaka Cef Rizwandy Perin berkata tidak kira di dapur hotel, restoran atau di rumah sendiri, peralatan memasak seperti dapur memasak, mesin mengacau atau ketuhar kini semakin canggih, selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan di dapur tukang masak.
“Bidang kulinari tidak terlepas daripada memasuki fasa memerlukan peralatan canggih dan kerana itu pelajar-pelajar bidang masakan ini perlu diberi pendedahan seawal mungkin dalam penggunaan peralatan canggih, bagi memudahkan mereka menggunakannya apabila bekerja dalam industri yang sebenar.
“Saya lihat pertandingan seperti Cabaran Masakan Melaka 2025 ini, mampu menjadi platform dalam membuka peluang dan ruang buat para peserta dan pelajar terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), merasa pengalaman sebenar menggunakan dapur dan peralatan canggih yang ditaja oleh beberapa syarikat terkemuka,” katanya ketika ditemui pemberita di Cabaran Masakan Melaka 2025 yang berlangsung di Freeport A'Famosa Outlet, di sini.
Rizwandy berkata antara peralatan yang menjadi tumpuan peserta dan pelajar sepanjang tiga hari pertandingan yang berakhir hari itu ialah dapur memasak dan peralatan bernilai RM50,000 hingga RM80,000 termasuklah ketuhar gabungan yang memudahkan kerja-kerja menyediakan pelbagai menu dalam masa yang singkat.
“Dengan peralatan ini juga, ia secara tidak langsung membuka minda pelajar kulinari ini untuk berinovasi mencipta peralatan dapur yang lebih canggih, mudah dan mesra penggunaan pada masa hadapan dan ini semua dapat dilakukan dengan mendedahkan mereka dalam persekitaran yang tepat seperti pertandingan sebegini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pertandingan yang memasuki tahun ketiga tersebut, Rizwandy berharap lebih banyak pihak tampil bekerjasama menjayakan cabaran kulinari yang diiktiraf oleh Persatuan Pertubuhan Chef Dunia (WACS) malah berjaya menarik perhatian juri profesional dari Thailand, Jerman, United Kingdom, Indonesia dan Itali.
Beliau berkata perkara itu penting kerana selain platform pendedahan kepada peserta, ia akan turut membantu mempromosi Melaka sebagai lokasi pelancongan kulinari memandangkan kehadiran peserta dan chef profesional yang bertindak sebagai juri di pertandingan tersebut.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya seribu penyertaaan atau lebih ramai pada edisi keempat nanti berbanding tahun ini iaitu 500 peserta dan paling utama manakala kerjasama pihak kerajaan negeri terutama Badan Promosi Pelancongan malah Majlis TVET negeri dapat dipertingkatkan, memandangkan ia selaras hasrat kerajaan untuk melahirkan seramai mungkin pelajar daripada program TVET.
“Saya percaya kerjasama ini dapat membantu pelajar TVET yang berada dalam bidang kulinari ini memperoleh pendedahan yang bukan sahaja di tahap negeri atau negara, malah bertaraf antarabangsa memandangkan peserta yang berpotensi ini akan kita bawa bertanding pula pada pertandingan antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA