AM

PULAU PINANG TERUSKAN LIBAT URUS BERKAITAN INDUSTRI VAPE - EXCO

21/06/2025 04:55 PM

BUTTERWORTH,  21 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dalam industri rokok elektronik atau vape sebelum mempertimbangkan pelaksanaan larangan penjualannya di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata sesi libat urus tersebut bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan daripada semua pihak berhubung perkara berkenaan.

“Khamis lepas, saya telah bertemu wakil Persatuan Pengusaha Kumpulan Vape dan kita telah mendengar pelbagai isu yang dibangkitkan mereka berkaitan industri berkenaan, khususnya mengenai Akta 852 iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

“Mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai impak pelaksanaan akta itu terhadap industri, dan berdasarkan maklum balas diterima, Akta 852 boleh dianggap sebagai satu daripada perundangan yang paling ketat kawal selianya di negara ini berbanding industri lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Libat Urus bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), di sini hari ini.

Gooi berkata kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan pelaksanaan larangan penjualan vape sekiranya penguatkuasaan Akta 852, yang bermula 1 Okt ini, didapati tidak memberikan impak positif seperti diharapkan.

Beliau berkata mekanisme kawal selia bekalan rokok elektronik telah diperkenalkan melalui akta tersebut, dan strategi pengurangan penggunaannya di Pulau Pinang perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan terancang.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa kerajaan negeri mempunyai ruang dari segi perundangan untuk melaksanakan larangan penjualan vape di negeri masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan