KUALA TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk langganan umum.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PHB Mohamad Damshal Awang Damit berkata unit itu tersedia bagi bumiputera khususnya di Pantai Timur untuk menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan dengan risiko yang rendah serta sokongan aset hartanah sebenar.
Beliau berkata orang ramai yang berminat untuk melanggan unit AHB boleh berurusan dengan pengedar sah PHB di seluruh negara termasuk cawangan Maybank, Ambank, Ambank Islamic, Bank Islam atau menggunakan platform digital, MyAHB Portal.
"Penawaran 300 juta unit ini ialah unit sedia ada yang kami buka semula kepada individu. Kami fokus kepada individu dan keutamaan diberi kepada rakyat Terengganu.
"Sehingga hari ini AHB telah menarik penyertaan lebih daripada 82,000 pelabur individu dan sekitar 19 institusi pelaburan. Sejak dilancarkan pada 2010, sebanyak RM2.32 billion pendapatan telah diagihkan kepada pelabur AHB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Beli-Belah Mayang Mall di sini hari ini.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pusat beli-belah berkenaan.
Turut hadir, Pengerusi PHB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.
AHB merupakan dana unit amanah patuh syariah yang melabur secara langsung dalam hartanah komersial terpilih di Malaysia bertujuan menyediakan pendapatan yang stabil dan konsisten kepada bumiputera.
Agihan pendapatan AHB diumumkan dua kali setahun selepas dikecualikan cukai dan ditolak daripada zakat.
Pelaburan minimum ditetapkan pada RM100 manakala had maksimum RM1 juta.
-- BERNAMA