AM

JKR TELITI LAPORAN PCA SEBELUM LAKSANA BAIK PULIH LALUAN JRTB - KETUA PENGARAH

22/06/2025 09:08 PM

KOTA BHARU, 22 Jun (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) kini berada di peringkat akhir meneliti laporan Penilaian Keadaan Turapan (PCA) bagi merancang kerja-kerja baik pulih jalan raya, khususnya di laluan strategik seperti Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.

Ketua Pengarahnya Datuk Roslan Ismail berkata penilaian berkenaan penting bagi mengenal pasti tahap kerosakan turapan serta menentukan kaedah penyelenggaraan paling sesuai agar peruntukan dapat digunakan secara optimum.

“Bagi laluan JRTB Gerik–Jeli, penilaian PCA telah dilaksanakan sejak 13 Mac lepas dengan penggunaan teknologi canggih seperti Multi Laser Profiler dan Falling Weight Deflectometer.

“Penilaian ini dimulakan awal tahun dan kini berada di peringkat akhir. Berdasarkan laporan PCA, kerja baik pulih akan menggunakan peruntukan sedia ada sebanyak RM55 juta. Sekiranya tidak mencukupi, kita akan mengemukakan permohonan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata kerja baik pulih secara menyeluruh tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana ia melibatkan kos yang besar selain perlu mengambil kira kelancaran projek infrastruktur lain yang sedang berjalan.

“Kita bersetuju dengan saranan Menteri Besar Perak, yang juga selari dengan perancangan JKR sejak dahulu. Namun, perlu difahami bahawa agihan peruntukan negara menggunakan pendekatan whole of nation, iaitu berdasarkan keutamaan tahunan secara menyeluruh.

“Insya-Allah, hasil saranan kerajaan negeri serta penekanan daripada Menteri Kerja Raya, kita telah mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan penambahbaikan secara berperingkat,” katanya.

JRTB sepanjang 215 kilometer dikenal pasti sebagai antara laluan strategik yang sering mengalami kerosakan akibat faktor cuaca dan aliran trafik berat.

Sementara itu, mengulas mengenai projek pembangunan di negeri Kelantan, Roslan berkata sebanyak 297 projek pembangunan yang melibatkan peruntukan berjumlah RM12.4 bilion sedang dan akan dilaksanakan di tahun ini, melibatkan pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

"JKR menyambut baik saranan supaya kerja-kerja kecil yang dilaksanakan kontraktor Gred G1 hingga G4 diperbanyakkan, selain menghidupkan semula pelaksanaan kerja undi perdana bagi membuka lebih banyak peluang kepada kontraktor kecil menyertai projek kerajaan," katanya.

Beliau berkata semua projek yang dilaksanakan perlu melalui proses tapisan menyeluruh yang meliputi rekod prestasi kontraktor, tahap keupayaan serta pematuhan terhadap syarat tender.

Katanya langkah itu penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara lancar dan telus, selaras dengan dasar ketelusan serta kebertanggungjawaban kerajaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan