KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Majlis Media Malaysia merupakan platform terbaik untuk menguruskan isu berkaitan etika kewartawanan, termasuk penerbitan infografik mengenai pelantikan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, oleh sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau menyifatkan laporan infografik itu telah memberikan impak naratif yang tidak tepat dan menimbulkan fitnah.
“Saya memang agak terkejut dengan penerbitan satu infografik yang tidak betul, sangat tidak betul, kerana saya tidak pernah melihat Datuk Khalid dalam mana-mana acara, mesyuarat, konvensyen mahupun kongres parti. Jadi, itu satu bentuk fitnah yang bagi saya sangat serius.
“Kita baru sahaja menubuhkan Majlis Media, namun strukturnya masih belum diwujudkan sepenuhnya. Namun, bagi saya, dalam keadaan seperti ini, Majlis Media merupakan platform terbaik untuk kita menguruskan isu-isu termasuk hal ehwal berkaitan etika kewartawanan seperti yang dimaksudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Kita MADANI peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Lembah Pantai di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan menerbitkan infografik biodata Mohd Khalid yang menyatakan beliau pernah memegang jawatan tinggi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun, akhbar berkenaan telah menarik balik infografik itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Difahamkan, satu laporan dibuat oleh orang awam berhubung penerbitan infografik berkenaan.
Pada 14 Jun lepas, Fahmi dalam sidang media selepas Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mengumumkan bahawa Akta Majlis Media Malaysia (MMM) telah mula berkuat kuasa pada hari sama.
Dalam ucapannya semasa majlis perasmian itu, Fahmi turut mengumumkan bahawa Lembaga Pengasas MMM telah dimuktamadkan.
Beliau berkata Lembaga Pengasas itu akan dianggotai seramai 12 individu, terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori iaitu wakil syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas, serta ahli bukan media.
-- BERNAMA