AM

PEMERGIAN RAJA NURFATIMAH KEHILANGAN BESAR DUNIA KEWARTAWANAN HIBURAN - FAHMI

22/06/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pemergian Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH) Raja Nurfatimah Mawar Mohamed hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan tanah air khususnya dalam bidang hiburan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran Facebook menzahirkan dukacita atas berita itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Raja Nurfatimah serta warga kerja BH.

“Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.

“Allahyarhamah merupakan seorang pengamal media yang disegani oleh rakan-rakan dan kenalan seindustri,” katanya.

Raja Nurfatimah, 49, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira 2 petang tadi.

Allahyarham memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan dan cukup dikenali dalam kalangan pengamal industri seni.

Jenazah dibawa ke Hospital Kajang bagi proses bedah siasat dan dijangka dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu untuk dikebumikan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan