KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Harga minyak mentah dijangka meningkat ke paras sekitar US$85 setong dalam jangka masa terdekat, dipacu oleh risiko dari segi bekalan yang berpunca daripada perkembangan geopolitik terkini, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Ia berkata tahap turun naik komoditi itu dijangka kekal tinggi, sambil menambah gangguan sebanyak 500,000 tong sehari dalam bekalan global secara sejarahnya boleh membawa kepada kenaikan harga sekitar US$10 setong.
“Sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Iran pada 2011-2012 mengakibatkan kehilangan bekalan sebanyak 1.4 juta tong sehari, menyebabkan kenaikan harga minyak mentah sebanyak US$30 setong dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, pasaran minyak global semasa lebih baik jika diimbangi oleh kapasiti gantian yang sedia ada,” katanya.
CIMB Securities berkata Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) pada masa ini memiliki anggaran lebihan kapasiti sebanyak 5.7 juta tong sehari, dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang kira-kira 4.2 juta tong sehari.
Bagaimanapun, ia mendapati kelemahan yang paling utama terletak pada fakta bahawa sebahagian besar bekalan minyak dieksport melalui Selat Hormuz.
“Pada pandangan kami, sekiranya cadangan penutupan Selat Hormuz menjadi kenyataan, premium risiko boleh melonjak, berpotensi mendorong harga Brent melebihi US$100 setong,” katanya.
CIMB Securities berkata walaupun undian Parlimen Iran mencerminkan desakan politik yang semakin meningkat untuk mengambil pendirian tegas, adalah penting untuk menyedari bahawa sebarang keputusan untuk menutup Selat Hormuz pada akhirnya terletak di tangan Majlis Keselamatan Tertinggi Negara, iaitu pihak berkuasa tertinggi Iran dalam hal ehwal keselamatan dan strategik.
“Sekiranya langkah ini dilaksanakan, ia akan meningkatkan risiko geopolitik dengan ketara di rantau Timur Tengah, dengan potensi kesannya kepada rantaian bekalan minyak global,” katanya.
Bekalan minyak global kini diunjurkan meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 104.35 juta tong sehari pada 2025, berdasarkan anggaran daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (AS).
Selat Hormuz memudahkan transit kira-kira 20 peratus daripada penggunaan minyak global, sekali gus menekankan kepentingannya dari segi strategik.
Asia amat terdedah dengan China, India, Jepun dan Korea Selatan menjadi destinasi utama bagi minyak mentah yang melalui Selat Hormuz ke Asia, yang secara keseluruhan menyumbang 69 peratus daripada jumlah minyak mentah dan kondensat yang diangkut melalui selat itu pada 2024.
CIMB Securities berpendapat sebarang gangguan terhadap aliran ini boleh menyebabkan lonjakan semula harga minyak, dengan limpahan inflasi merentas ekonomi global.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) berkata ketidaktentuan di Timur Tengah dijangka menyebabkan lonjakan harga minyak kerana rantau itu menyumbang 30 peratus daripada jumlah pengeluaran dunia, dengan Iran menjadi pengeluar OPEC ketiga terbesar.
Ia berkata jika tiada gangguan material terhadap bekalan minyak global dengan Selat Hormuz kekal boleh diakses, kesan itu mungkin bersifat sementara memandangkan bekalan minyak di pasaran masih mencukupi, manakala permintaan global boleh melemah disebabkan kelembapan dalam perdagangan antarabangsa susulan kenaikan tarif.
“Bagaimanapun, memandangkan ketidaktentuan dan risiko peningkatan ketegangan, harga minyak dijangka melonjak dalam jangka masa terdekat, manakala pelabur akan tergesa-gesa beralih kepada aset-aset selamat dan mengelak pelaburan berisiko seperti ekuiti,” katanya.
PIVB menambah walaupun Indeks Harga Pengguna (IHP) AS masih terkawal, sebahagiannya disebabkan oleh harga tenaga yang rendah, tetapi konflik yang berpanjangan di Timur Tengah berpotensi menyebabkan kenaikan harga tenaga yang berterusan, meningkatkan kemungkinan ekonomi AS mengalami stagflasi pada separuh kedua 2025.
-- BERNAMA