KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Misi perdagangan rasmi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke Jepun sempena Ekspo 2025 Osaka dijangka mampu menjana potensi pelaburan dan jualan bernilai RM51 juta.
Menurut KUSKOP dalam kenyataan, misi itu adalah sebahagian usaha strategik kementerian itu untuk memperkukuh kehadiran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia di pasaran antarabangsa khususnya di Jepun.
Setakat ini menurut KUSKOP sebanyak tujuh memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai empat syarikat Malaysia dengan tujuh syarikat Jepun bernilai RM10.3 juta.
“Dalam pada itu juga, sebanyak 10 syarikat PKS Malaysia turut melancarkan produk mereka sempena perasmian Minggu KUSKOP di Pavilion Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Delegasi KUSKOP disertai agensi di bawah kementerian itu terdiri daripada SME Bank, SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan 39 syarikat PKS serta lima koperasi dari pelbagai sektor.
Kemuncak misi adalah penganjuran Minggu KUSKOP di Pavilion Malaysia bermula dari semalam hingga 28 Jun ini yang mengetengahkan tema Health and Well-being sejajar aspirasi memperkenalkan produk dan perkhidmatan tempatan dalam sektor kesihatan, gaya hidup sihat dan kesejahteraan, menurut kenyataan itu.
“KUSKOP sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengangkat syarikat-syarikat PKS Malaysia ke peringkat global dengan meneroka secara agresif serta merebut peluang perniagaan strategik di Jepun dan rantau Asia Timur,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang misi perdagangan itu, delegasi KUSKOP turut mengadakan perjumpaan bersama Dewan Perniagaan dan Industri Osaka dan pemain industri lain bagi memperluas peluang kolaborasi perniagaan.
“Pelaksanaan misi perdagangan ini selari dengan hasrat Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa,” menurut kementerian itu. .
-- BERNAMA