POLITIK

PERKEMBANGAN KESIHATAN ABDUL HADI SANGAT POSITIF - AHMAD SAMSURI

23/06/2025 02:47 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Keadaan kesihatan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata menurut pakar perubatan yang merawat Ahli Parlimen Marang itu, proses pemulihan Abdul Hadi disifatkan agak luar biasa dan lebih cepat daripada jangkaan.

“Alhamdulillah, saya telah melawat beliau (Abdul Hadi) dan saya sangat teruja melihat prosedur yang dijalani Tan Sri berjalan lancar, dan proses pemulihan sangat cepat. Insya-Allah beliau mampu kembali bekerja dengan cepat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan menyempurnakan Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula pada hari ini.

Ditanya tentang prosedur dan lokasi beliau mendapatkan rawatan yang tidak dijelaskan sebelum ini, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata ia dibuat bagi menghormati privasi Abdul Hadi yang tidak boleh menerima kunjungan pelawat yang ramai.

"Kita perlu faham, dalam keadaan tertentu apabila disebut lokasi dan sebagainya, orang ingin melawat, kalau tidak diizinkan mereka akan berkecil hati … dengan keadaan usia Tuan Guru (Abdul Hadi), kita perlu meminimumkan sebarang kemungkinan yang boleh mengganggu proses rawatan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan