KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Petronas LNG Sdn Bhd (PLSB), anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), telah memeterai perjanjian strategik gas asli cecair (LNG) dengan Japan Organisation for Metals and Energy Security (JOGMEC) dari Jepun.
Dalam kenyataannya hari ini, Petronas berkata PLSB telah menandatangani satu memorandum kerjasama (MOC) dengan JOGMEC bagi mengembangkan lagi rangka kolaboratif dalam sektor LNG.
“Kerjasama itu dijangka membuka ruang perbincangan selanjutnya mengenai usaha memperkukuh bekalan LNG ke Jepun, termasuk pendekatan bagi memastikan kestabilan bekalan dan pengurusan potensi gangguan,” katanya.
Petronas berkata perjanjian itu dimeterai ketika Persidangan Energy Asia 2025 di sini, minggu lepas.
Naib Presiden Pemasaran & Perdagangan LNG Petronas Shamsairi Mohd Ibrahim berkata kerjasama itu menjadi bukti peranan sebagai pembekal LNG diyakini kepada Jepun sejak 1983.
“Kerjasama ini tepat pada masanya, sejajar dengan momentum Energy Asia yang menyaksikan aspek kerjasama serantau dan pengukuhan jaminan tenaga rantau ini menjadi topik utama perbincangan pada sesi dialog,” katanya.
MOC itu telah dimeterai oleh Shamsairi dan Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Tenaga JOGMEC Hiroyuki Mori.
-- BERNAMA