PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Mesyuarat pertama Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) yang berakhir hari ini, mengusulkan beberapa cadangan termasuk penubuhan Kuala Lumpur (KL) Youth Force, pemberian elaun minimum kepada pelatih industri, serta penguatkuasaan terhadap penempatan warga asing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata cadangan penubuhan KL Youth Force sebagai satu inisiatif membantu mangsa bencana di Wilayah Persekutuan, khususnya dalam isu kebajikan seperti banjir dan kebakaran.
“Walaupun sebenarnya kita telah ada struktur ini dalam kerajaan seperti Rakan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), tetapi (KL Youth Force) perlu ada penelitian dan jika ia berkaitan dengan kebajikan, sudah tentu terkait dengan SOP (prosedur operasi standard) dan sebagainya.
“Mengenai elaun pelatih, di peringkat kerajaan telah pun dilaksanakan tetapi mereka mahu dipanjangkan ke peringkat swasta. Walaupun ada sektor swasta yang telah melaksanakannya (pemberian elaun), tetapi tiada satu dasar yang jelas dan mungkin saya (akan) berbincang sendiri dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim untuk meneliti perkara ini,” katanya.
Dr Zaliha berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Penggulungan Sidang Belia Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Pada sidang yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Jun itu menyaksikan sebanyak 15 usul dikemukakan, antaranya merentasi kluster ekonomi, sosial, teknologi, dan perundangan.
Ditanya sama ada kesemua cadangan yang dikemukakan akan dibawa ke peringkat tertinggi, sama ada ke Kabinet mahupun perancangan Belanjawan 2026, beliau berkata semua usul yang telah dipersetujui dalam sidang itu akan diserahkan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk tindakan susulan.
“Bagi perkara yang dibincangkan dalam sidang ini tetapi merentasi portfolio Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang disandang oleh saya berdasarkan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 (Pindaan 2023), saya akan bawa ke pengetahuan Jemaah Menteri untuk diambil tindakan oleh menteri yang berkaitan.
“Kemudian, JWP akan menyusuli status tindakan dengan kementerian yang terlibat. Ini bagi memastikan usaha yang telah dicurahkan oleh semua ahli sidang belia dalam perbahasan selama dua hari ini tidak sia-sia,” katanya.
-- BERNAMA