Lazimnya, apabila tiba waktu malam, masyarakat akan menutup kesemua pintu dan tingkap rumah, namun lain kisahnya dengan Isham Romli yang tinggal di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang dekat sini.
Sejak sebulan lepas, kesemua tingkap rumahnya yang terletak di tingkat sembilan flat itu, dibiarkan terbuka seluas-luasnya bagi mengurangkan bahang yang terkumpul di dalam rumah akibat cuaca panas melampau pada siang hari.
“Waktu siang saya akan tutup tingkap serta langsir bagi menghalang bahang dari luar masuk ke dalam, tetapi tengok keadaan. Adakala saya buka juga (tingkap) tetapi tidaklah luas, kerana selalunya ada tiupan angin kuat sebab kita tinggal di tingkat atas,” katanya kepada Bernama.
pic-2
Bagi mengelakkan rasa terperuk di dalam rumah yang hanya berkeluasan 650 kaki persegi itu, Isham, 62, akan menghabiskan masa siangnya di bengkel jahitan, mengendalikan kelas untuk penghuni PPR tersebut.
“Sambil menunggu anak-anak pulang dari sekolah, daripada terperuk seharian kepanasan di dalam rumah, kami menggalakkan lebih ramai suri rumah menyertai bengkel jahitan ini, selain dapat juga menjana pendapatan sampingan,” katanya.
Namun, bagi Siti Nuraisyah Abdul Hamid, 35, yang juga tinggal di sebuah perumahan kos rendah, dia tidak menghadapi masalah hawa panas di dalam rumah sekalipun tingkap dibiarkan terbuka pada sebelah siang.
Katanya ini kerana flat enam tingkat di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu mempunyai reka bentuk yang menggalakkan aliran udara.
“Flat yang saya diami sekarang telah berusia lebih 30 tahun (dibina awal 1990-an), jadi reka bentuknya agak berbeza berbanding dengan bangunan baharu. Flat saya ada beranda luas serta banyak tingkap, membantu aliran udara di dalam rumah sekalipun cuaca panas.
“Pada waktu siang, kalau bekerja dari rumah, saya akan buka tingkap tapi tidak terasa panas. Selain itu, saya juga hias rumah dengan pokok-pokok berdaun,” jelas eksekutif swasta itu yang menyewa unit di tingkat teratas rumah pangsa tersebut.
pic-3
TIADA PENGUDARAAN
Isham dan Siti Nuraisyah merupakan antara ribuan penghuni pangsapuri kos rendah yang kini terkesan gelombang haba luar biasa di negara ini sejak 10 Mei lalu, disebabkan ketiadaan lohong pengudaraan yang baik di bangunan mereka.
Pada 17 Jun lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan pengaruh Monsun Barat Daya yang bermula pada 10 Mei telah menyebabkan keadaan cuaca kering dan panas dengan peningkatan jumlah hari kering dijangka berterusan hingga September. Suhu di Lembah Klang dilaporkan mencecah 35 hingga 40 darjah Celcius.
Penghuni pangsapuri kos rendah bertingkat tinggi – melibatkan unit kediaman dengan keluasan lantai keseluruhan kurang daripada 900 kaki persegi – lebih merasai kesan gelombang haba ini berbanding perumahan jenis lain.
Umumnya, perumahan kos rendah berstrata yang dibina selepas era 1990-an direka bentuk dengan mengambil kira faktor kos, justeru cenderung dibina lebih kompak serta mengabaikan aspek sistem pengudaraan. Ringkasnya, kediaman mereka ialah perangkap haba.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Pertubuhan Arkitek Malaysia Axxu Hoi Jung Wai berkata sistem pengudaraan yang kurang baik dan perangkap haba merupakan isu biasa dalam perumahan kos rendah di Malaysia, terutamanya di PPR dan perumahan mampu milik yang lain.
“Unit kediaman kos rendah biasanya sangat kompak… bilik-biliknya kecil, dan dalam banyak kes, tiada ruang pun untuk meletakkan mesin basuh di kawasan jemuran. Reka bentuk yang sempit ini membawa kepada kesesakan dan peredaran udara yang tidak baik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
pic-4
Beliau berkata banyak projek perumahan mampu milik pada masa kini menggunakan susun atur yang seragam dan berkecekapan tinggi, seperti koridor berkembar dengan tingkap yang minimum serta tiada laman dalam, sekali gus mengurangkan peluang untuk pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.
“Selalunya, apabila berkunjung ke kebanyakan flat kos rendah, kita perasan ada bau yang macam terperangkap di udara dan suasana pengap disebabkan ketiadaan aliran udara,” tambahnya.
Hoi yang juga rakan kongsi pengurusan dan arkitek bertauliah di Axial Design Architects Sdn Bhd, berkata sistem pengudaraan yang lemah bukan sekadar kesan sampingan daripada penjimatan kos, tetapi juga petunjuk kepada amalan reka bentuk yang tidak lestari.
“Di kebanyakan unit, penyaman udara merupakan satu keperluan, bukan lagi pilihan, iaitu keadaan yang langsung tidak mampan,” katanya, merujuk situasi pengumpulan haba di unit-unit berkenaan, khususnya semasa musim panas.
Mengambil contoh flat lama seperti Happy Mansion di Petaling Jaya (yang dibina pada 1970-an), Hoi berkata reka bentuk bangunan lama selalunya mempunyai sistem pengudaraan lebih baik dan lestari.
“Ketika itu bangunan ada ciri-ciri seperti anak tingkap, koridor dengan pengudaraan silang serta ruang jemuran yang berfungsi, tetapi hari ini elemen-elemen seperti itu telah hilang akibat kaedah pembinaan yang lebih cepat dan murah,” katanya.
pic-5
PENDEKATAN BERASASKAN IKLIM
Ketika impak perubahan iklim semakin dirasai, lebih ramai ahli masyarakat yang tertanya-tanya sejauh mana kediaman mereka dapat bertahan dengan cabaran seperti banjir kilat, cuaca panas dan kemarau yang berterusan.
Menurut Hoi, peningkatan permintaan terhadap perumahan mampu milik seharusnya mendorong kerajaan untuk menerajui kaedah membina rumah yang bukan sahaja cekap kos tetapi juga mampu menangani perubahan iklim dan memberi keselesaan jangka panjang kepada penghuni.
Beliau seterusnya menggesa kerajaan dan pemaju agar menimbang pendekatan berasaskan iklim yang menyepadukan analisis persekitaran terperinci dalam fasa reka bentuk awal bagi meningkatkan keselesaan kediaman mampu milik tanpa menambah kos secara ketara.
Beliau turut mencadangkan supaya analisis laluan matahari dan bayang-bayang dijalankan bagi memastikan rumah di tingkat bawah menerima pencahayaan semula jadi mencukupi, selain mengelakkan masalah ruang dalaman yang gelap dan pengap akibat blok-blok bangunan terlalu padat.
“Analisis seperti ini boleh membantu penempatan struktur yang lebih baik dan mengenal pasti kawasan paling sesuai untuk taman permainan serta ruang hijau yang kekal sejuk dan boleh digunakan sepanjang hari.
“Kaedah dinamik bendalir pengiraan (CFD) juga boleh digunakan untuk mengkaji aliran angin dan meningkatkan pengudaraan semula jadi antara bangunan, bagi mewujudkan kesan terowong yang membaiki aliran udara dan mengurangkan pengumpulan haba,” katanya.
pic-6
Cadangan lain beliau termasuk menjalankan analisis pencahayaan semula jadi bagi mengenal pasti zon gelap di koridor atau kawasan guna sama serta mengurangkan kebergantungan pada pencahayaan buatan, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kecekapan tenaga.
Pemaju yang mengintegrasikan strategi iklim yang ringkas tetapi berimpak tinggi ini boleh menetapkan piawaian baharu untuk kediaman mampu milik dengan menawarkan rumah yang bukan sahaja mampu dimiliki tetapi juga mampan, selesa dan berdaya tahan dengan cabaran di masa depan, tambah Hoi.
“Walaupun mengekalkan kos yang rendah itu penting, kita masih boleh mengutamakan keselesaan dan kebolehdiaman.
“Reka bentuk mampan tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kemewahan - ia boleh dan sepatutnya diterapkan dalam perumahan mampu milik bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.”
UTAMAKAN KETAHANAN IKLIM
Sementara itu, menurut Rose Afrina Mansor, Pengurus Program Daya Tahan Iklim Think City - sebuah organisasi impak yang memfokuskan pada penambahbaikan kebolehdiaman, kelestarian dan keterangkuman bandar raya - ketika ancaman iklim semakin hebat di seluruh Malaysia, pembinaan rumah yang selesa didiami dan berdaya tahan semakin diperlukan.
Beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepentingan termasuk pemaju, pihak berkuasa tempatan dan pihak lain yang terlibat, menilai semula pendekatan dalam merancang dan membina perumahan mampu milik – sebaik-baiknya dengan mengambil kira penyesuaian iklim sebagai pertimbangan utama.
“Walaupun terdapat alat seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menggalakkan pembinaan mesra alam, pelaksanaannya pada masa ini masih bersifat sukarela dan sering dianggap sebagai kos tambahan, terutamanya dalam konteks perumahan golongan berpendapatan rendah.
“Pertimbangan kos ini amat ketara dalam pembangunan perumahan mampu milik. Meskipun begitu, pihak berwajib mengiktiraf cabaran ini menerusi inisiatif yang menggalakkan amalan pembinaan hijau dalam sektor perumahan mampu milik.
“Sebagai contoh, GBI telah menawarkan pengurangan yuran pendaftaran sebanyak 50 peratus bagi projek perumahan mampu milik. Inisiatif ini yang turut disokong oleh usaha kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik yang lebih berdaya huni, mencerminkan usaha berterusan bagi mengimbangi keperluan kelestarian dengan kemampuan,” katanya.
pic-7
Rose berkata dengan mengadaptasi amalan terbaik dari negara seperti China yang terkenal dengan kepakarannya dalam reka bentuk bandar mampan di kawasan padat dan berketumpatan tinggi, pendekatan Pembangunan Impak Rendah (LID) dan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (NbS) boleh disepadukan ke dalam reka bentuk perumahan, khususnya di kawasan bandar.
“Integrasi ini dapat dilihat melalui ciri-ciri seperti taman poket, penghijauan di atas podium atau bumbung yang berfungsi secara dwiguna untuk penyejukan dan penuaian air hujan, turapan telap air, parkir berliang, penanaman pokok secara pelbagai serta taman hujan yang dibina secara strategik.
“Pendekatan berasaskan alam semula jadi ini bukan sahaja mengurangkan risiko alam sekitar dan impak perubahan iklim, malah meningkatkan keselesaan, menyediakan ameniti yang baik, dan meningkatkan kualiti hidup penduduk,” ujarnya.
KECEKAPAN TENAGA
Ketika Malaysia terus berusaha ke arah kehidupan bandar yang lebih inklusif dan lestari, pakar berkata perumahan mampu milik tidak harus terhenti setakat harga rendah semata-mata, sebaliknya perlu turut meliputi ciri-ciri kecekapan tenaga serta respons terhadap perubahan iklim.
Presiden Pertubuhan Syarikat-syarikat Perkhidmatan Tenaga Malaysia Zulkifli Zahari berkata ketidakselesaan yang dialami oleh penduduk perumahan kos rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh reka bentuk bangunan yang tidak peka penggunaan tenaga.
“Elemen reka bentuk pasif amat penting. Perkara seperti orientasi bangunan, teduhan tingkap, penebat bumbung, bahkan warna dinding, semuanya memberi kesan kepada jumlah haba yang disimpan oleh bangunan.
“Apabila perkara-perkara ini dilakukan dengan betul, keperluan untuk penyejukan mekanikal seperti pendingin hawa dapat dikurangkan,” katanya kepada Bernama.
Zulkifli mencadangkan kerajaan memperkenalkan insentif bersasar bagi pemaju yang menggunakan bahan atau reka bentuk lestari dalam pembinaan rumah kos rendah, sama ada dalam bentuk rebat ataupun subsidi jika projek dapat membuktikan komponen penjimatan tenaga yang digunakan.
“Satu daripada peluang terbesar ialah tenaga solar bagi mengurangkan kos elektrik di kawasan guna sama seperti koridor dan ruang komuniti.
“Jika terdapat program yang disokong kerajaan untuk melengkapkan perumahan kos rendah dengan panel solar, ia boleh meringankan beban penduduk,” katanya.
pic-8
Zulkifli berkata dengan tarif elektrik dijangka diselaraskan secara bulanan mulai Julai 2025 dan keadaan iklim yang semakin ekstrem, sudah tiba masa untuk pihak berkepentingan melihat semula perumahan mampu milik sebagai kediaman tahan iklim, peka tenaga dan bersedia menghadapi masa depan.
“Ia boleh dilakukan… ini bukan soal menjadikan sesuatu itu mahal, tetapi tentang mereka bentuk (kediaman) dengan kesedaran dan menyediakan sokongan di tempat yang diperlukan,” katanya.
Menurut Suruhanjaya Tenaga, tarif elektrik di Semenanjung Malaysia akan diselaraskan setiap bulan bermula Julai ini, berbanding dua kali setahun, hingga Disember 2027.
Semakan semula ini, dipacu oleh turun naik kos bahan api dan penjanaan, akan dilaksanakan menerusi mekanisme pelarasan kos bahan api automatik.
Suruhanjaya itu juga mengesahkan tarif asas per kilowatt sejam (kWh) akan meningkat dari 39.95 sen di bawah tenpoh kawal selia ketiga (RP3) kepada 45.4 sen di bawah RP4.
(Laporan ini diterbitkan sebagai sebahagian daripada inisiatif PANAS! Climate Change Stories in Malaysia yang dijalankan oleh Science Media Centre Malaysia dengan sokongan International Science Council Regional Focal Point for Asia and the Pacific, dibiayai oleh Jabatan Industri, Sains dan Sumber Australia, dan diterajui oleh Akademi Sains Australia.
(Ia juga disokong oleh International Network for Governmental Science Advice Asia (INGSA-Asia), dibiayai oleh kerajaan Québec dan Fonds de Recherche du Québec).