AM

ALLIANCE BANK JALIN KERJASAMA DENGAN JANE GOODALL ROOTS & SHOOTS UNTUK PROGRAM CABARAN LITERASI KEWANGAN, BIODIVERSITI 

23/06/2025 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan Roots & Shoots Malaysia bakal menjalinkan kerjasama mengenai literasi kewangan dan biodiversiti dalam kalangan murid sekolah untuk tempoh dua tahun. 

Menurut kenyataan bersama, kerjasama yang dimuktamadkan hari ini melalui Memorandum Persefahaman antara kedua-dua pihak itu akan bermula dengan pelaksanaan Program Literasi Kewangan dan Biodiversiti AEIOU 2025 di Sabah.

Inisiatif transformasi ini bertujuan memupuk pemimpin muda dengan kemahiran pengurusan kewangan serta kesedaran ekologi, bertemakan ““AEIOU for Responsible Living: Smarter Finances, Caring for Nature, Greener Choices” yang bakal melibatkan 160 murid dari 20 sekolah di Kota Kinabalu, Penampang, dan Tuaran.

“Program ini akan dilaksanakan melalui gabungan bengkel fizikal dan maya, pembelajaran berasaskan projek, serta simulasi interaktif,” menurut kenyataan itu. 

Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank Dr Aaron Sum berkata: “Mendidik murid sekolah membuat pilihan kewangan yang bijak sambil memahami kesannya terhadap alam sekitar, kita dapat melahirkan generasi seimbang yang bukan sahaja celik kewangan malah cakna terhadap alam sekitar.”

Sementara itu, Presiden Roots & Shoots Malaysia T.P. Lim berkata dalam tempoh 10 tahun yang lepas, Roots & Shoots Malaysia telah bekerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan rakan korporat di Malaysia untuk menyediakan program yang bertujuan meransang minda dan jiwa bagi memupuk perubahan tingkah laku yang berkekalan. 

“Kerjasama unik itu, kami teruja untuk bekerjasama dengan pasukan dari Alliance Bank kerana ilmu biodiversiti diperkenalkan kepada pelajar sekolah dengan pendekatan yang menyeronokkan dan menarik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, AEIOU ialah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama oleh Alliance Bank yang mula diperkenalkan pada 2015 dan telah melibatkan lebih 150,000 murid sekolah rendah sepanjang tujuh edisi, melalui bengkel literasi kewangan, simulasi permainan biodiversiti, dan cabaran biodiversiti. 

Kaedah penceritaan komik, mata wang maya, dan simulasi keusahawanan hijau menarik minat lebih banyak murid, menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna serta mudah diingati.

Murid-murid juga boleh meneruskan pembelajaran walaupun selepas tamat Cabaran AEIOU, kerana video pendidikan kewangan dan komik boleh diakses melalui aplikasi AEIOU, selaras dengan kerangka Kurikulum Sekolah 2027 Kementerian Pendidikan yang menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.

“Versi AEIOU yang telah ditambah baik itu bukan sahaja mengukuhkan lagi kepentingan konsep akademik tetapi juga memupuk etika, penjagaan alam sekitar, dan keusahawanan. Murid-murid akan belajar bagaimana pilihan mereka termasuk kewangan dapat mempengaruhi kesihatan ekosistem dan komuniti mampan. 

“Sebanyak 10 pasukan terbaik akan dipelawa membentangkan projek mereka secara langsung di acara penutup, projek terbaik bakal menerima pengiktirafan dan hadiah bagi merealisasikan idea mereka. Majlis penyampaian anugerah cabaran literasi kewangan dan biodiversiti AEIOU akan diadakan pada 28 Julai 2025,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan