AM

DASAR WANITA NEGARA 2025-2030 PERKASA WANITA, PERKUKUH NEGARA

23/06/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030 yang digubal buat kali ketiga merupakan panduan kepada pelaksanaan semua strategi, program, dan inisiatif kepada semua pihak berkepentingan.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Hanani Sapit berkata usaha pembaharuan dasar itu bukti komitmen kerajaan Malaysia MADANI untuk terus memelihara dan mengangkat martabat wanita Malaysia supaya terus dihormati, dirai serta diiktiraf dalam pelbagai bidang sehingga ke persada antarabangsa.

“Dasar yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini bukan sahaja milik kementerian semata-mata, tetapi merupakan dasar peringkat nasional yang merangkumi kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat sivil.

“Dasar yang diperbaharu ini memberi penekanan kepada empat bidang keutamaan, iaitu Ekonomi, Kepimpinan, Keselamatan dan Kesejahteraan. Inisiatif di bawah dasar ini telah mula dilaksanakan serta-merta selepas pelancarannya pada 8 Mac lepas bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ di BERNAMA TV di sini hari ini.

Beliau berkata bagi menggubal dasar itu, kerajaan telah memperkukuh sesi libat urus dan kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, dan NGO bagi mengarusperdanakan dasar itu ke peringkat umbi.

“Pada masa sama, JPW menerusi Pejabat Pembangunan Wanita Negeri akan terus mempergiat program advokasi dan literasi berkaitan dengan dasar pada peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata DWN dan PTPW 2025-2030 bermatlamat memperkasakan wanita untuk terlibat secara bermakna bagi mencapai potensi mereka sepenuhnya melalui pembangunan yang inklusif ke arah kesaksamaan gender.

Pemilihan slogan ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’ juga selaras dengan peranan wanita sebagai aset negara dan kemampuan mereka untuk mencorakkan pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan jumlah populasi menghampiri 50 peratus penduduk di Malaysia.

“Dasar itu turut menekankan keperluan perkongsian tanggungjawab kepimpinan antara lelaki dan wanita dalam membangunkan negara, selaras dengan nisbah penduduk Malaysia, iaitu 111 lelaki bagi setiap 100 wanita.

“Pendekatan menyeluruh itu dilihat penting bagi memastikan pembangunan dasar dan program yang lebih mesra masyarakat dan inklusif,” katanya sambil menambah bahawa kesaksamaan gender bukan sekadar matlamat moral, tetapi pemacu utama kepada kemajuan ekonomi dan sosial negara.

Hanani berkata mempunyai perwakilan kepimpinan wanita dalam organisasi adalah penting bagi memastikan program, projek dan inisiatif dapat dirancang dengan lebih komprehesif berdasarkan sudut pandang yang lebih menyeluruh serta mengambil kira keperluan wanita itu sendiri. 

Beliau berkata dengan mewujudkan persekitaran yang mendukung peluang saksama untuk wanita menjadi pemimpin, golongan wanita sekali gus dapat menyumbang secara maksimum dalam pelbagai sektor daripada ekonomi sehingga kepimpinan dan seterusnya memartabatkan negara ke tahap lebih tinggi.

“Kalau kita dapat lihat sekarang, hasil daripada usaha Dasar Wanita Negara terdahulu, terdapat peningkatan yang ketara dalam penyertaan wanita sebagai ahli Lembaga Pengarah di 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia, atau Top 100 PLC, iaitu daripada 25.5 peratus pada 2021 kepada 32.2 peratus pada Oktober tahun lepas.

“Ini selari dengan matlamat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan termasuk di sektor awam, Parlimen, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan sektor swasta,” katanya.

Hanani berkata berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh 2023 ketika ini, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja adalah sebanyak 56.2 peratus berbanding 82.3 peratus bagi lelaki.

“Menerusi DWN, kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita kepada 60 peratus. Sasaran 60 peratus wanita dalam ekonomi adalah selari dengan ketetapan sasaran di bawah Ekonomi MADANI. 

“Pemerkasaan wanita dalam sektor ekonomi bukan sahaja akan memberi impak signifikan kepada pembangunan keluarga dan masyarakat, malah turut menyumbang kepada keberhasilan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan