AM

UMS LAPOR INSIDEN BAKAR KARIKATUR PERDANA MENTERI, NAFI PENGLIBATAN

23/06/2025 05:51 PM

KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan membuat laporan polis berhubung insiden peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0 yang membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular di media sosial baru-baru ini.

UMS dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa universiti itu tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan perhimpunan atau insiden tersebut dan laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut dilakukan.

“Selain bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman, pihak UMS melihat tindakan tersebut sebagai tindakan tidak beradab, kurang matang sekali gus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi,” menurut universiti itu.

Menurut kenyataan itu, UMS juga menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada peserta malah kepada orang awam.

UMS juga amat kesal dengan pernyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Pada Sabtu lepas (21 Jun) kumpulan Suara Mahasiswa UMS menganjurkan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang antara lain berarak sekitar bandar raya Kota Kinabalu serta membawa plakad membabitkan pelbagai isu di Sabah seperti rasuah dan bekalan air.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan