EKONOMI

SEDA LANTIK KETUA PENGARAH PERKHIDMATAN AWAM SEBAGAI PENGERUSI BAHARU

24/06/2025 12:33 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia melantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, sebagai Pengerusi baharu SEDA Malaysia mulai 15 Mei, 2025.

Dalam kenyataannya hari ini, SEDA berkata agensi itu mengalu-alukan kepimpinan Wan Ahmad Dahlan untuk menerajui dalam membangunkan agenda tenaga lestari negara dan mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) menjelang 2050.

Beliau yang menggantikan Ahmad Zairin Ismail, telah berkhidmat sebagai anggota SEDA sejak Ogos 2024.

Wan Ahmad Dahlan berpengalaman luas melebihi 30 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah menjawat jawatan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, Ketua Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ketua Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri serta berkhidmat di beberapa agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan KDN.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Selain itu, SEDA Malaysia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Zairin di atas  sumbangan serta khidmat sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai pengerusi sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan