KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Harga saham Gamuda Bhd tinggi dalam dagangan awal hari ini selepas dilaporkan telah disenarai pendek melalui konsortium Together North untuk projek lebuh raya Northland Corridor (NCH) di New Zealand.
Pada 10.30 pagi, saham Gamuda naik empat sen kepada RM4.74 sesaham dengan 1.74 juta saham diniagakan.
Konsortium Together North terdiri daripada Plenary Origination Pty Ltd, Webuild, WBCA Pty Ltd, Gamuda Engineering Pty Ltd dan Service Stream Holdings Pty Ltd.
Menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dalam nota hari ini, jika konsortium tersebut berjaya dipilih sebagai pembida pilihan, projek itu akan menjadi tambahan yang baik kepada pendedahan pembinaan Gamuda di luar negara yang pada masa ini meliputi Australia, Taiwan dan Singapura, membentuk 50-60 peratus daripada jumlah nilai perolehan kontrak kumpulan itu.
Katanya terdapat dua konsortium lain, Northway dan Go>North, disenarai pendek untuk seksyen Warkworth ke Te Hana dalam NCH.
“Fasa pertama projek ini termasuklah lebuh raya empat lorong sepanjang 26 kilometer dari Warkworth ke Te Hana, yang menghubungkan ke lebuh raya baharu PÅ«hoito Warkworth.
“Reka bentuk indikatif bagi Warkworth ke Te Hana merangkumi terowong berkembar sepanjang 850 meter di Dome Valley dan tiga persimpangan yang terletak di Warkworth, Wellsford dan Te Hana,” menurut bank pelaburan itu.
RHB IB mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Gamuda dengan harga sasaran RM5.64.
-- BERNAMA