Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Dalam era pendigitalan ketika ini ejen insurans perlu meningkatkan kecekapan digitalnya, bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan memanfaatkan platform komunikasi dalam talian untuk mengharungi cabaran yang muncul serta beralih daripada tradisi berinteraksi secara bersemuka.
Menyedari cabaran ini, AIA Malaysia melancarkan AIA Elite Academy (AEA) pada 2018 -- program pembangunan bakat eksklusif yang pertama seumpamanya bertujuan untuk memupuk generasi baharu ejen insurans berprestasi tinggi, dikenali sebagai Perancang Hayat AIA.
Program itu mengetengahkan sukatan pelajaran yang telah terbukti berkesan, latihan terbaik dan kemahiran penting untuk membantu Perancang Hayat berkembang secara profesional dan berkembang maju sebagai usahawan yang berjaya.
Ketua pegawai eksekutif AIA Malaysia, Ben Ng, berkata syarikat itu terus menambah baik program tersebut sejak tujuh tahun lalu untuk menjadikannya lebih menarik dan relevan mengikut peredaran masa, dengan matlamat utama memberi inspirasi kepada Perancang Hayat untuk membina kerjaya berkekalan dengan AIA dengan penglibatan jangka panjang dan pertumbuhan profesional.
Oleh itu, pada tahun ini, AIA telah memperkenalkan Elite 2.0 dan program Elite Premier Leader (EPL) 2.0 -- program dipertingkat yang menumpukan kepada peluang pendapatan lebih kukuh dan kemahiran pembangunan perniagaan.
Ng berkata Elite 2.0 disasarkan kepada lepasan ijazah yang baru menamatkan pengajian untuk memulakan kerjaya dengan sokongan modal permulaan, sambil memperkasakan mereka untuk membina pendapatan mampan melalui komisen dan bonus.
“Elite 2.0 juga disesuaikan untuk mereka yang bertukar kerjaya, profesional pengurusan kanan, dan pemilik perniagaan yang mapan – menawarkan modal permulaan sehingga 150 peratus daripada pendapatan tahunan dan padanan pendapatan bulanan sehingga RM100,000,” katanya menerusi satu temu baru-baru ini.
Sementara itu, Ng berkata EPL 2.0 pula untuk individu yang bersedia meneraju pasukan, mempercepatkan usaha kepimpinan mereka dengan pendapatan mampan dan peluang dalam tempoh 24 bulan, dengan tujuan membina perniagaan yang berkekalan dan membawa impak.
"Kami faham bahawa pandangan biasa tentang ejen insurans sering dikaitkan dengan kaedah lapuk dan pertumbuhan terhad. Di AIA, kami telah mengubah semula sepenuhnya naratif itu," katanya.
Mengulas mengenai inisiatif terbaharu itu, ketua pegawai pengedaran agensi AIA Leong Chee Soong berkata Elite 2.0 juga sesuai untuk mereka yang mencari laluan kerjaya baharu, kerana ia menawarkan latihan komprehensif, bimbingan dan alatan digital untuk membina asas yang kukuh.
Perancang Hayat AIA juga dilengkapi dengan kemahiran untuk mengembangkan perniagaan dan menyediakan nilai sebenar kepada pelanggan.
Leong seterusnya menjelaskan bahawa program EPL 2.0 menyasarkan pemimpin baharu yang bersedia untuk meningkatkan tahap pasukan mereka.
Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan lanjutan, strategi pertumbuhan perniagaan, dan pemerkasaan digital, sambil menyediakan alatan yang diperlukan untuk mengurus, mengembang dan memberi inspirasi kepada pasukan dengan berkesan.
“Kami menekankan kestabilan pendapatan melalui pengurusan prestasi berstruktur dan pertumbuhan yang telus, membantu Perancang Hayat AIA mewujudkan kerjaya yang membina pendapatan sepanjang hayat.
“Pendekatan ini memperkasakan mereka untuk membina perniagaan yang berdaya tahan sejajar dengan keperluan pasaran yang berkembang dan aspirasi peribadi,” katanya.
Mengenai kemampanan kerjaya dalam insurans, Ng berkata Perancang Hayat di AIA bukan sekadar ejen, kerana mereka adalah rakan dipercayai yang menyokong pelanggan untuk mencapai jaminan kesihatan dan kewangan yang lebih baik.
Beliau berkata Perancang Hayat AIA menawarkan penyelesaian terangkum merentas setiap peringkat kehidupan dengan portfolio yang pelbagai termasuk insurans hayat, takaful, insurans am, skim persaraan persendirian, perlindungan gadai janji dan penyelesaian korporat, menjadikannya penyelesaian sehenti untuk pelanggan.
Selain itu, AIA juga menumpu untuk memastikan Perancang Hayat mereka mempunyai pendekatan yang mengutamakan digital dan mengoptimumkan mudah alih, mengetengahkan ekosistem digital bersepadu sepenuhnya yang selaras dengan gaya hidup tenaga kerja digital masa kini.
Dengan ekosistem digital yang berkembang pesat menggabungkan advokasi kesihatan, inovasi digital dan pembangunan kerjaya, Perancang Hayat AIA berada di kedudukan yang baik untuk memberi impak dalam kehidupan sebenar, membantu pelanggan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dengan jangka hayat yang lebih lama.
Selama bertahun-tahun, syarikat insurans telah memacu usaha transformasi digital yang padu untuk memastikan hampir setiap proses perkhidmatan pelanggan dapat diselesaikan dengan selamat dan lancar secara dalam talian.
“Hari ini, 85 peratus daripada permintaan perkhidmatan -- mewakili lebih 95 peratus daripada jumlah volum kami -- boleh diserahkan secara digital.
“Lebih mengagumkan, 96 peratus daripada transaksi ini diproses secara automatik melalui pemprosesan terus (STP), membolehkan penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas dan cekap.
“Ini bermakna Perancang Hayat kami kurang menghabiskan masa untuk tugas pentadbiran dan tindakan susulan yang berulang, dan (menumpu) lebih banyak masa untuk perkara yang benar-benar penting: membina hubungan bermakna dan memberikan sokongan dan nilai kepada pelanggan mereka,” kata Leong.
Penting kepada misinya, syarikat insurans itu menawarkan AIA Vitality melalui aplikasi terangkum, AIA+.
"Apa yang benar-benar membezakan AIA ialah komitmen kami terhadap kesejahteraan melalui AIA Vitality -- satu-satunya program kesihatan yang disokong sains yang memberi ganjaran kepada kehidupan sihat. Kami adalah satu-satunya syarikat insurans yang bukan sahaja melindungi nyawa tetapi juga secara aktif menggalakkan pelanggan untuk hidup lebih sihat.
"Sama ada melalui kekal aktif, makan makanan sihat, atau melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, pelanggan kami diberi ganjaran kerana mengambil langkah ke arah gaya hidup lebih sihat," katanya.
Leong berkata ini menjadikan peranan Perancang Hayat AIA lebih daripada sekadar menawarkan perlindungan malah memberi inspirasi kepada perubahan positif dan memberi impak sebenar kepada kehidupan orang ramai.
Pendekatan holistik, didayakan teknologi dan didorong impak ini menjadikan AIA Malaysia tempat yang sesuai untuk profesional muda membina kerjaya dengan potensi pertumbuhan tanpa had.
-- BERNAMA