AM

NUR AISHAH SEBAK TERIMA KEPUTUSAN STPM, MAHU TUNAI HASRAT ARWAH BAPA JADI PENDIDIK

24/06/2025 07:26 PM

BUTTERWORTH, 24 Jun (Bernama) -- Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Nur Aishah Marzuki, 20, tidak dapat menahan sebak sebaik menerima keputusan peperiksaan hari ini apabila terkenangkan arwah bapanya yang telah pergi lima tahun lepas.

Nur Aishah berkata bapanya, Marzuki Hashim amat berharap dia menjadi seorang guru, namun impian itu tidak sempat disaksikan bapanya apabila meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Changkat Jering, Perak pada 2020, ketika dia di tingkatan tiga.

“Ini memang cita-cita arwah bapa. Dia nak sangat tengok saya jadi cikgu. Jadi, saya belajar bersungguh-sungguh dan dengan keputusan hari ini, saya akan tunaikan hasrat itu.

“Selain itu, kejayaan ini juga saya hadiahkan kepada ibu yang menjadi pendorong utama dan tulang belakang saya. Tanpa semangat dan doa ibu, tidak mungkin saya boleh dapat keputusan seperti hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM 2024 di Kolej Tingkatan Enam Prauniversiti Desa Murni, di sini hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu merupakan antara lapan calon kolej berkenaan yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 apabila mendapat semua A dalam empat mata pelajaran diambil.

Berasal dari Penaga, Nur Aishah bagaimanapun berkata kejayaan itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan bukan sahaja dari segi masa, tetapi juga dari segi tenaga selain sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.

“Dahulu, ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya hanya peroleh 6A dan STPM sebenarnya bukan pilihan pertama, tetapi mungkin Allah telah lorongkan jalannya begini. Saya pun tak sangka nak dapat 4.00 sebab setiap semester hanya dapat 3.00 ke atas sahaja,” katanya yang merancang untuk melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, ibu Nur Aishah, Wan Noriza Azmi, 50, berkata dia menyaksikan sendiri kesungguhan anaknya mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam meskipun sering kepenatan, justeru keputusan hari ini membuktikan bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

“Kadang-kadang kesian tengok dia, tetapi saya tahu dia buat semua ini demi masa depan. Hari ini saya sangat bersyukur dengan kejayaannya,” kata suri rumah itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan