JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS REKOD 22 LAPORAN BERKAITAN KECURIAN DI TAPAK ECRL DI TERENGGANU

25/06/2025 08:52 AM

KUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) -- Polis menerima 22 laporan berkaitan kecurian termasuk kabel membabitkan kerugian RM300,000 di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu bermula 1 Jan hingga 31 Mei tahun ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka melibatkan lima kes di Besut, empat di Marang, dua di Setiu serta masing-masing satu kes di Kemaman dan Dungun. 

“Sebanyak lima daripada 13 kes itu telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 414 dan Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. Lima kes lagi telah di NFA (tiada tindakan lanjut) disebabkan tiada keterangan kukuh untuk tuduh tangkap, manakala tiga kes lagi masih dalam siasatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khairi berkata jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas yang merekodkan 35 laporan polis diterima membabitkan kerugian hampir RM2 juta pada 1 Jan hingga 31 Mei 2024.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 23 kertas siasatan telah dibuka melibatkan lapan kes di Marang, masing-masing lima kes di Kuala Terengganu dan Besut, tiga kes di Setiu serta dua kes di Dungun.

Menurut beliau, bagi lima bulan pertama 2024, sebanyak lapan kes telah dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379/511 akta sama manakala lima kes telah di NFA dan 10 kes masih dalam siasatan pihak polis.

Sehubungan itu, Mohd Khairi menggesa syarikat atau pengurusan tapak projek di Terengganu supaya memperketat kawalan keselamatan bagi membendung aktiviti kecurian termasuk kabel di kawasan tapak projek berkenaan.

Beliau berkata antara langkah boleh dilaksanakan adalah dengan memasang pagar keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu pencahayaan yang mencukupi khususnya pada waktu malam.

“Pihak syarikat atau pengurusan tapak projek juga dinasihatkan menyediakan pengawal keselamatan mencukupi dan memastikan peralatan serta bahan binaan disimpan dengan selamat, selain direkod dalam sistem inventori yang sistematik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa atau pengurusan tapak projek, seperti pergerakan tidak biasa atau cubaan menceroboh kawasan projek.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) turut melahirkan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan