AM

TENGKU NORHANIS CATAT PNGK 4.00, CIPTA SEJARAH CALON CBK TERBAIK KELANTAN

24/06/2025 05:59 PM

KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Ketika rakan seusianya belajar dengan penglihatan sempurna, Tengku Norhanis Tengku Othman hanya ada satu mata untuk melihat dunia, namun semangatnya mengatasi batas fizikal apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Lebih membanggakan, Tengku Norhanis turut diumumkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) paling cemerlang di Kelantan dengan memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan itu.

Kejayaan itu ternyata di luar jangkaan anak ketujuh daripada lapan beradik itu kerana menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya PNGK 3.7 bagi lima mata pelajaran STPM, iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Usuluddin dan Syariah.

"Saya hanya sasar 3.7, itu pun saya dah bersyukur, tetapi apabila capai 4.00 saya terus menangis. Allah beri lebih daripada yang saya minta," katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, di sini hari ini.

Di sebalik kelembutan remaja berusia 19 tahun itu, tersimpan kisah ketabahan luar biasa kerana diuji penyakit kanser retinoblastoma ketika berumur dua tahun, memaksa mata kirinya dibuang bagi menyelamatkan nyawa.

"Saya masih kecil pada masa itu, tetapi saya tahu hidup ini bukan untuk mengeluh. Walaupun belajar dengan sebelah mata, saya tahu tuhan masih beri saya harapan," katanya yang tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang cita-cita.

Disebabkan keadaan itu, Tengku Norhanis sering berasa sakit kepala akibat tekanan pada mata kanan yang digunakan sepenuhnya untuk membaca dan menulis serta berhenti sebentar untuk berehat dan memakan ubat jika sakit itu datang menyerang.

"Apabila sakit, saya berhenti, rehat dan sambung semula. Kalau saya putus asa di tengah-tengah jalan, siapa lagi yang hendak lawan untuk diri saya?" katanya yang menerima masa tambahan 30 minit sebagai calon OKU.

Anak kepada Gayah Yazid, 61, seorang pesara guru dan Tengku Othman Tuan Yahya, 63, usahawan air berkarbonat itu memasang impian besar untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Tahfiz dan Qiraati di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), dengan harapan menjadi pendidik yang boleh memimpin generasi celik al-Quran.

"Dia anak luar biasa, kami tidak pernah menduga dia mampu raih keputusan sedemikian. Apabila mengingatkan semula kesungguhannya, memang patut dia dapat yang terbaik," kata Gayah.

Sementara itu, Pengetua SMKA Naim Lilbanat, Ab Raisham Ab Rashid berkata kesemua warga sekolah berbangga dengan pencapaian Tengku Norhanis yang membuktikan bahawa kekurangan tidak pernah menghalang seseorang untuk berjaya dalam pelajaran.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan