KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Syarikat bukan sahaja perlu merancang pertumbuhan tetapi juga memastikan ia mempunyai daya tahan, susulan persekitaran perniagaan semasa yang semakin kompleks, kata Tunku Laksamana Negeri Sembilan Tunku Datuk Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
“Syarikat di Malaysia perlu menilai semula pendedahan mereka kepada risiko geopolitik. Ini bermakna perlu mempelbagaikan pasaran eksport dan ia memerlukan pemahaman mendalam mengenai kelemahan rantaian bekalan, pembiayaan dan pergantungan teknologi.
“Perniagaan mesti merancang bukan sahaja untuk pertumbuhan tetapi juga untuk daya tahan. Firma yang terus menganggap geopolitik sebagai isu luaran, terputus daripada strategi komesial, mengambil risiko yang tidak perlu,” katanya yang juga bekas pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dalam ucapan khas pada Forum Ekonomi Malaysia (MEF) 2025 hari ini.
MEF 2025 bertemakan ‘Navigating the Future: Pioneering Economic Resilience and Green Prosperity’ itu berjaya menarik lebih 100 delegasi peringkat tertinggi mewakili kerajaan, perniagaan dan akademik.
Forum anjuran bersama Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) bertujuan mengadakan perbincangan mengenai matlamat membentuk transformasi ekonomi Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global.
Tunku Naquiyuddin berkata mesti wujud anjakan daripada pematuhan pasif kepada penjajaran strategik.
“Alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), tadbir urus data, pendedahan karbon dan penumpuan teknologi telah menjadi jangkaan asas. Ia bukan trend, ia membentuk peraturan bagi perdagangan, pelaburan dan pemerolehan global.
“Syarikat yang menganggap ia sebagai satu isu terpencil akan mendapati mereka dikecualikan daripada peluang masa depan, terutamanya dalam rantaian bekalan bernilai lebih tinggi,” katanya.
Katanya, penyepaduan serantau juga mesti dipandang serius.
“ASEAN mungkin dilihat bergerak perlahan, tetapi rantau ini masih antara yang paling terbuka di dunia. Firma di Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui perkongsian merentas sempadan, mewujudkan platform serantau dan memanfaatkan insentif pelaburan merentas pelbagai kuasa. Potensi Komuniti Ekonomi ASEAN kekal kurang dimanfaatkan oleh sektor swasta kita,” katanya.
Beliau turut meminta perniagaan untuk berhenti menganggap teknologi sebagai istilah popular yang abstrak.
“Kita telah bercakap mengenai kebaikan Industri 4.0 selama sedekad, tetapi banyak firma masih keliru atau teragak-agak untuk mendekatinya. Kecerdasan buatan juga bukan baharu, begitu juga pengkomputeran awan, analitik data besar atau platform digital,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan syarikat di Malaysia untuk menyemak semula peranan mereka dalam ekonomi negara.
“Sektor swasta bukanlah penumpang dalam proses pembangunan, tetapi ia merupakan pemandu. Kami memerlukan firma yang mengambil alih pemilikan hasil, membentuk dasar menerusi penyertaan dan bertindak segera seperti yang mereka tuntut daripada kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA