KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR), yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), telah menerbitkan kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja bagi jaminan kemampanan.
SC dalam satu kenyataan hari ini berkata tempoh perundingan awam ditetapkan bermula 25 Jun hingga 6 Ogos, 2025.
Katanya, keperluan untuk jaminan luaran bagi pelaporan kemampanan itu bertujuan memastikan kebolehpercayaan pendedahan oleh syarikat yang diliputi dalam Rangka Kerja Kemampanan Pelaporan Kebangsaan (NSRF).
“Kertas perundingan mengenai rangka kerja yang dicadangkan membincangkan antara lain penggunaan piawaian jaminan kemampanan antarabangsa, pengawasan penyedia jaminan, keperluan kecekapan untuk pemimpin jaminan dan garis masa untuk jaminan luaran.
“Maklum balas diperlukan daripada pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan rangka kerja tersebut praktikal, boleh dipercayai dan teguh,” katanya.
Menurut SC, rangka kerja jaminan kemampanan yang teguh penting untuk menangani kebimbangan mengenai ‘greenwashing’ atau maklumat palsu dan bagi menggalakkan keyakinan pelabur terhadap laporan mampan yang dikeluarkan oleh syarikat.
Kertas perundingan itu boleh diperoleh secara dalam talian di https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers, dan pertanyaan boleh dikemukakan kepada Sekretariat ACSR di nsrf@seccom.com.my.
-- BERNAMA