KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memperuntukkan RM2.5 juta bagi menaik taraf sistem longkang konkrit di Mukim Kampung Kota, Salor di sini, untuk mengatasi masalah banjir termenung yang berlarutan sejak lebih 20 tahun lepas.
Pengarah JKR Kelantan Nik Soh Yaakob berkata peruntukan itu melibatkan dua fasa pelaksanaan projek.
“Fasa pertama melibatkan peruntukan RM772,900 di bawah Program Kampung Angkat MADANI iaitu menaik taraf 700 meter longkang konkrit bermula dari Lorong Pok San hingga Wakaf Sena.
“Kerja-kerja fasa pertama telah bermula pada pertengahan April lepas dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan Julai ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kemajuan projek kerja-kerja pemasangan longkang monsun di Kampung Kota, Salor di sini hari ini.
Nik Soh berkata projek fasa kedua pula melibatkan peruntukan RM1.7 juta bagi meneruskan kerja-kerja pemasangan dan menaik taraf sistem longkang di kawasan sama, yang dijangka bermula selepas fasa pertama siap sepenuhnya.
Beliau berkata projek itu akan memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk serta pengguna jalan raya kerana laluan itu akses utama ke bandar Kota Bharu.
“Secara keseluruhannya, sebanyak enam hingga tujuh projek menaik taraf sistem longkang akan dan sedang dilaksanakan di Kelantan tahun ini, dengan anggaran kos antara RM1 juta hingga RM1.5 juta bagi setiap projek, yang dijangka siap sebelum musim tengkujuh,” katanya.
-- BERNAMA