BATU KAWAN, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang meluluskan sebidang tanah di kawasan Vision Park, Bertam, Kepala Batas untuk pembinaan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai memperingati jasa dan legasi bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemilikan tanah sudah dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia bagi merealisasikan pembinaan galeri dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Kerajaan negeri memilih tanah di Bertam Vision kerana Tun Abdullah ialah bekas Ahli Parlimen Kepala Batas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penamaan Semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Bandar Cassia, di sini hari ini.
Turut hadir anak Allahyarham Abdullah, Tan Sri Kamaluddin, serta Reezal Merican, barisan pentadbiran kerajaan negeri dan pemimpin UMNO Pulau Pinang.
Abdullah, Perdana Menteri kelima merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut dari 1978 hingga 2013. Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 April lepas.
Dalam pada itu, Chow berkata penamaan semula jalan sepanjang 5.45 kilometer dari Jalan Batu Kawan hingga Lingkaran Cassia Selatan itu bertujuan menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham selain melambangkan penghormatan daripada kerajaan negeri.
Kerajaan negeri katanya, bersetuju menamakan semula jalan itu pada 16 April, dan diharapkan menjadi ingatan rakyat Pulau Pinang serta warisan negeri.
“Bandar Cassia merupakan cetusan idea Allahyarham yang membayangkannya sebagai sebuah bandar baharu di Batu Kawan dan kini menjadi kenyataan apabila muncul sebagai destinasi strategik serta menjadi tumpuan pelabur luar sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Justeru, bandar ini sangat sesuai sebagai penghormatan kepada Allahyarham. Saya juga mencadangkan sekiranya boleh, fasa baharu jalan dari Batu Kawan ke Nibong Tebal menghubungkan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP 2) juga dinamakan Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican berharap pembinaan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar itu dapat menjadi kenyataan bagi menempatkan barangan dan koleksi termasuk gambar milik Allahyarham.
Dalam pada itu, Kamaluddin mewakili keluarga Abdullah, melahirkan rasa terharu atas usaha kerajaan negeri menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia dengan nama Allahyarham.
“Saya tersentuh hati dengan penghormatan ini. Saya juga gembira dengan cadangan pembangunan Galeri Tun Abdullah dan kami berterima kasih kepada kerajaan negeri dan rakan Allahyarham yang berusaha merealisasikan perkara ini,” katanya.
-- BERNAMA