GEORGE TOWN, 26 Jun (Bernama) -- PBA Holdings Bhd (PBAHB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM86.8 juta untuk 2025 dalam usaha menaik taraf infrastruktur bekalan air di Pulau Pinang.
Pengerusi PBAHB dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Chow Kon Yeow berkata capex itu sebahagian daripada pelaburan diperlukan untuk memastikan sistem bekalan air kekal cekap, mampan dan mampu memenuhi permintaan menjelang 2030.
"Selain itu, syarikat juga perlu melabur kira-kira RM2.099 bilion bagi menyiapkan enam projek infrastruktur bekalan air baharu di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030)," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBAHB ke 25, di sini hari ini.
Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM144.167 juta pada 2024 iaitu dalam tempoh 26 tahun, peningkatan 319.7 peratus dalam keuntungan bersih berbanding keuntungan bersih sebanyak RM34.348 juta dicatatkan pada 2023.
Keuntungan bersih itu sebahagian besarnya dijana hasil daripada semakan tarif air Pulau Pinang dilaksanakan sejak 1 Februari, 2024, katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan prestasi kewangan itu bukan bertujuan untuk mengisi tabung kewangan PBAHB atau mengkayakan syarikat, ia akan digunakan untuk membiayai projek-projek yang diperlukan bagi menyelesaikan isu bekalan air negeri.
Walaupun Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan pajakan jangka panjang bagi dua projek WCP 2030, PBAHB dan PBAPP masih perlu meneroka kaedah lain untuk menjana lebih daripada RM1 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
PBAPP menghasilkan jumlah air terawat terbesar iaitu 1,208 juta liter sehari (JLH) tahun lepas dan peratusan air tidak terhasil (NRW) sebanyak 28 peratus iaitu penggunaan air di Pulau Pinang direkodkan sebanyak 870 JLH.
Beliau berkata Pulau Pinang menghadapi beberapa cabaran dalam memenuhi permintaan air kerana ia adalah negeri kecil dengan simpanan tanah terhad untuk PBAPP membina lebih banyak empangan.
Chow berkata Sungai Muda adalah satu-satunya sumber air mentah utama Pulau Pinang tetapi pada masa ini Projek Air Perak-Pulau Pinang sedang dijalankan dan pihaknya menunggu mesyuarat pertama yang akan diadakan antara Perak dan Pulau Pinang bagi membincangkannya.
Beliau berkata aspek teknikal projek itu sedang dijalankan di Perak dan Pulau Pinang akan memulakan rundingan mengenai terma komersial projek tersebut.
"Pulau Pinang juga sedang meninjau sumber air alternatif lain seperti di Sungai Perai dan Sungai Kerian, kami juga sedang membina loji rawatan air baharu di sebelah Sungai Muda serta terdapat rancangan untuk membina kolam tadahan di tapak tersebut," katanya.
Mengenai kemungkinan semakan semula tarif air, Chow berkata ia adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“SPAN telah membentangkan cadangan semakan tarif air dan kini sedang menunggu kelulusan Kabinet sebelum diwartakan untuk beberapa negeri termasuk Pulau Pinang melaksanakan semakan semula,” katanya.
Selain itu, Chow berkata AGM pada tahun ini telah meluluskan dividen akhir sebanyak 2.25 sen sesaham dan jumlah agihan yang diunjurkan kepada 7,157 pemegang saham adalah sebanyak RM7.5 juta dengan tahun ini merupakan tahun ke 24 berturut-turut PBAHB membayar dividen kepada pemegang saham.
-- BERNAMA