EKONOMI

AGROBANK SASAR 70,000 AKAUN BAHARU DIBUKA BAGI KEMPEN MEGA MILLION 2.0

25/06/2025 10:18 AM

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Agrobank menyasarkan pembukaan 70,000 akaun baharu dengan nilai deposit RM350 juta sepanjang Kempen Mega Million 2.0 dilaksanakan sejak November tahun lepas.

Ketua Pegawai Operasi Agrobank Zahid Ahmad Zawawi berkata ini berikutan penyertaan pada kempen kali ini lebih memberangsangkan berbanding kempen Mega Million terdahulu yang mencatatkan 54,000 akaun baharu dengan nilai deposit melebihi RM290 juta. 

"Kami juga melihat peningkatan positif menerusi produk Agrobank sejak kempen ini berlangsung seperti takaful dengan langganan meningkat 116 peratus, penulisan wasiat sehingga 114 peratus serta pembiayaan Ar-Rahnu sehingga 177 peratus," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan hadiah Kempen Mega Million 2.0 bagi meraikan pemenang Kempen Cabutan Pusingan 1 dan 2 di sini hari ini. 

Katanya kempen kali ini yang terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada termasuk individu dan bukan individu menunjukkan keyakinan bahawa sasaran berkenaan dapat dicapai memandangkan kempen itu akan turut meliputi pelbagai produk seperti Ar-Rahnu, AgroPrimaS, AgroPerdana-i PLUS, AgroCash-i, Hartani-i, Takaful Kasih PLUS, Agro Madani, Agro Nurani, Agro Motor Takaful dan penulisan wasiat. 

Menurutnya selain pendeposit baharu, Agrobank turut menyasarkan perolehan positif bagi produk AgroCash-i berjumlah RM2.0 bilion dan Hartani-i sebanyak RM200 juta sepanjang pelaksanaan Kempen Mega Million 2.0 yang tamat pada 31 Oktober ini.

Bank itu turut menyasarkan perolehan positif bagi produk lain seperti penulisan wasiat berjumlah RM10 juta, takaful (RM20 juta) dan Ar-Rahnu (RM250 juta), katanya.

 "Kempen berkenaan adalah kesinambungan daripada Kempen Mega Million 1.0 sebagai satu usaha menggalakkan pelanggan menyimpan dan melanggan produk yang ditawarkan sekali gus mempromosikan budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada majlis berkenaan seramai enam pemenang bertuah bagi tempoh November 2024 sehingga April 2025 membawa pulang kereta Mitsubishi Xpander, Proton S70 dan Perodua Myvi. 

Sementara itu, Tempawan Mat Isa, 67, tidak menyangka wang simpanan hasil daripada aktiviti menanam sayur pada tahun lepas telah menyebabkan beliau berjaya membawa pulang sebuah Mitsubishi Xpander. 

Beliau yang menetap di Felcra Kampung Seberang, Kampung Gajah, Perak berkata, simpanan berkenaan dilakukan di Agrobank cawangan Kampung Gajah bersama-sama Allahyarham suami, dan mereka mempunyai keinginan untuk mendapat kereta yang ditawarkan apabila menyertai kempen itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan