Daripada Siti Radziah Hamzah
TASHKENT, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia berpotensi untuk mengembangkan lagi pasarannya di Asia Tengah melalui pengukuhan kerjasama dua hala dengan Uzbekistan, yang boleh menjadi platform terbaik sebagai pintu masuk negara ke rantau itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata menerusi beberapa pertemuan dengan pemimpin tertinggi serta pihak swasta di republik itu sejak Sabtu lepas, kedua-dua negara bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi antaranya dalam sektor tenaga, kelapa sawit, sukuk dan semikonduktor.
Justeru, katanya, lawatan kerja itu yang merupakan susulan kepada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas, diharapkan dapat memperluaskan lagi jaringan perniagaan dan pelaburan di republik berkenaan untuk mencapai matlamat tersebut.
"Kita juga bersetuju untuk terus meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga khususnya tenaga boleh baharu. Mereka juga mengajak Malaysia untuk mengambil bahagian, bukan saja dalam pemasangan tenaga tetapi juga daripada segi transmisi (elektrik), menaik taraf sistem grid, sistem grid pintar, seperti yang sedang kita buat juga.
"Mereka juga mencadangkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang perdagangan karbon. Ini merupakan sesuai juga dengan komitmen kita untuk kelestarian global dan mereka harapkan kepakaran daripada Malaysia dalam bidang ini," kata beliau pada sidang media mengakhiri lawatan kerjanya selamat empat hari ke negara itu.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata Uzbekistan turut berminat untuk mempelajari dan berkongsi kepakaran Malaysia dalam bidang keterjaminan air.
"Salah satu cabaran mereka ialah dari segi bekalan air bersih untuk minum dan sebagainya dan itu specific request (permintaan khusus) mereka (supaya) kita kongsikan pengalaman dan kepakaran kita dengan mereka dan secara prinsip saya bersetuju dan insya-Allah kita akan bawa dan melihat bagaimana kita dapat penuhi (permintaan tersebut)," kata beliau.
Selain itu, beliau juga berharap agar Uzbekistan dapat meningkatkan import minyak kelapa sawit dari Malaysia, yang kini merupakan produk eksport utama ke negara tersebut.
"Dalam hal ini, saya mencadangkan pihak Uzbekistan bekerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan seterusnya menjadikan Uzbekistan sebagai hab eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Asia Tengah," katanya.
Fadillah berharap agar MPOC dapat menganjurkan program kesedaran di Uzbekistan bagi mempromosikan kelebihan minyak kelapa sawit, sekali gus memperkukuh kedudukan negara itu sebagai pintu masuk Malaysia ke Asia Tengah.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Uzbekistan turut menyatakan minat untuk mempelajari pengalaman Malaysia dalam pembangunan pasaran sukuk, memandangkan negara diiktiraf sebagai peneraju global dalam bidang kewangan Islam.
Bagi merancakkan sektor pelancongan dua hala pula, Fadillah berkata AirAsia X bakal membuka laluan penerbangan baharu antara Malaysia dan Uzbekistan bermula Oktober tahun ini.
"Bila saya berada di Samarkand, memang harapan mereka untuk direct flight (penerbangan terus) Malaysia ke Samarkand.
“Saya akan menyampaikan perkara ini kepada AirAsia dan hopefully (harapnya) AirAsia akan dapat mengadakan penerbangan dalam tiga kali seminggu, mungkin sekali seminggu ke Samarkand," katanya.
Fadillah berkata Malaysia turut menggalakkan Uzbekistan untuk terus mengambil bahagian dalam program latihan teknikal di bawah Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) anjuran Kementerian Luar Negeri.
Setakat ini, seramai 832 pegawai dari Uzbekistan telah menerima manfaat daripada program MTCP sejak diperkenalkan pada 1992.
Beliau berkata Malaysia dan Uzbekistan juga akan meneroka kerjasama lebih mendalam dalam bidang semikonduktur menerusi pemeteraian memorandum persefahaman dalam bidang ini antara MIMOS dan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Republik Uzbekistan bersama Association Uzeltexsanoat pada 13 Jun lepas.
Dalam siri lawatan beliau yang bermula 21 Jun hingga 24 Jun, Fadillah turut mengadakan pertemuan bersama Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev serta Menteri Tenaga Uzbekitan Jurabek Mirzamakhmudov.
Timbalan Perdana Menteri kemudiannya dijadualkan meneruskan lawatan kerja beliau ke Rusia bermula 24 Jun hingga 28 Jun.
-- BERNAMA