KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pelancaran inisiatif strategik bernilai RM211 juta oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) akan menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kerajaan telah memberikan mandat kepada SME Bank untuk menggerakkan pelbagai inisiatif strategik dengan peruntukan melebihi RM1 bilion bagi 2025, termasuk inisiatif baharu itu.
“Pelancaran program-program strategik oleh SME Bank adalah untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan bagi merancakkan pertumbuhan yang dipacu oleh PMKS, memperkukuh daya tahan ekonomi domestik dan seterusnya membantu mengekalkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya ketika berucap melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 SME Bank di sini, Khamis.
Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Amir Hamzah berkata inisiatif baharu itu menumpukan kepada teknologi; alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG); pelancongan; dan halal, selari dengan keutamaan nasional seperti yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Ini mencerminkan hala tuju masa depan negara ke arah ekonomi yang lebih moden, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata dalam konteks kerangka Ekonomi MADANI, pendekatan ini memperkukuh usaha kerajaan untuk menyokong ekosistem pembiayaan PMKS secara lebih menyeluruh; memacu pertumbuhan sektor pembuatan dan sektor baharu; meningkatkan pendigitalan dalam kalangan usahawan tempatan; dan menjamin keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian sosial.
Amir Hamzah berkata SME Bank menjadi sebahagian daripada Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia bermula 1 Mei, 2025.
“Saya percaya rasionalisasi institusi kewangan pembangunan ini, yang melibatkan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank dan EXIM Bank akan mewujudkan sinergi.
“Sinergi ini yang akan memberikan nilai tambah dari segi penyaluran modal secara lebih menyeluruh menerusi ekosistem pembiayaan pembangunan dengan peningkatan kapasiti serta impak yang lebih hebat pada skala yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata penyepaduan keupayaan antara institusi pembangunan kewangan itu akan mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar ekonomi utama negara, serta mewujudkan impak yang lebih menyeluruh dan bermakna bagi ekosistem PMKS secara keseluruhannya.
Proses itu juga membuka ruang kepada pendekatan yang bersasar, tumpuan yang lebih strategik serta mobilisasi sumber yang lebih efisien dalam menyokong pertumbuhan dan daya saing PMKS di peringkat domestik dan antarabangsa, katanya.
Sementara itu, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata pihaknya menjangkakan penjimatan kos susulan penggabungan bank itu hanya dapat dilihat pada tahun depan.
Beliau berkata bagi 2025, SME Bank masih beroperasi secara sendirian sehingga akhir tahun ini.
“Kita dapat lihat adanya sinergi antara ketiga-tiga entiti. Sebelum ini, SME Bank mungkin hanya memberi tumpuan kepada satu segmen tertentu dalam kalangan PKS. Namun, dengan adanya BPMB, kita boleh melihat dari sudut ekosistem pembiayaan yang lebih menyeluruh.
“Bagi EXIM Bank pula, kita boleh membantu mereka memudahkan urusan eksport PKS dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh EXIM Bank. Jadi, kita dapat lihat wujud sinergi kukuh dari segi kemudahan yang disediakan dan juga kekuatan institusi ini,” katanya pada sidang media.
Pada bulan lepas, Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) mengumumkan pengambilalihan saham EXIM Bank dan SME Bank daripada Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Kumpulan BPMB, kini dengan EXIM Bank dan SME Bank sebagai anak syarikatnya, membentuk sebuah entiti untuk menyalurkan modal impak secara lebih menyeluruh menerusi ekosistem pembiayaan pembangunan.
Penstrukturan semula ketiga-tiga entiti itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024.
-- BERNAMA