Oleh Mohamad Syazwan Mustafa
ISKANDAR PUTERI, 28 Jun (Bernama) -- Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan ‘Jom Beli Lokal’ yang dilancarkan semalam mendapat sambutan positif dalam kalangan peniaga dan pengunjung sempena program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 Zon Selatan di sini.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengunjung dan usahawan menyambut baik inisiatif itu yang disifatkan mampu memperkukuh permintaan terhadap produk tempatan sekali gus memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Pengusaha kafe Roslinda Basir, 51, berkata kempen seperti itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap produk buatan tempatan, malah membuka peluang lebih luas kepada usahawan kecil mempromosi produk secara terus kepada pengguna.
“Di karnival ini saya berniaga nasi ambang dengan pelbagai lauk dan sambal yang dihasilkan sendiri. Sepanjang dua hari ini, sambutan amat menggalakkan.
“Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan seperti ini, lebih ramai rakyat Malaysia akan mengenali dan yakin terhadap produk keluaran usahawan tempatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai jualan Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Selatan, hari ini.
Peniaga kuih Mohamad Riduan Sukiman, 41, turut menyambut baik kempen itu dan menyifatkan ia sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan industri tempatan melalui KBBM dan Jualan Rahmah MADANI.
“Saya amat berharap inisiatif seperti itu dapat diteruskan, termasuk ke kawasan luar bandar kerana produk anak tempatan kita semuanya berkualiti. Kita hanya perlu kekalkan momentum dan kesinambungan pelaksanaan bagi mengetengahkan produk-produk tempatan ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Sementara itu, pengunjung Noraini Md Yusof, 32, menyifatkan kempen ini sebagai langkah tepat untuk merangsang semula ekonomi rakyat pascapandemik.
“Kita ada banyak produk buatan tempatan yang bukan sahaja berkualiti, malah harganya juga berpatutan. Kalau kita sendiri tidak sokong, siapa lagi?” katanya selepas membeli beberapa produk makanan ringan.
Bagi pelajar jurusan perniagaan S. Harvindran, 21, KBBM bukan sekadar mengetengahkan keistimewaan produk tempatan, malah menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.
“Dengan membeli produk tempatan, kita bukan sahaja membantu peniaga kecil, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Malah, banyak produk yang dihasilkan usahawan kita setanding dengan jenama terkemuka antarabangsa. Jadi kita perlu beri sokongan penuh kepada industri tempatan,” katanya.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN Adiratno Che Ani berkata sebanyak 63 reruai melibatkan peniaga dan perusahaan tempatan mengambil bahagian di bawah khemah KBBM kali ini, tidak termasuk penyertaan rakan strategik dan jenama nasional seperti Proton dan Perodua.
“Penyertaan dalam khemah KBBM bukan sahaja tertumpu kepada makanan dan minuman, tetapi turut merangkumi barangan rumah seperti tilam, produk kecantikan, pakaian serta pelbagai produk gaya hidup tempatan,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai supaya tidak melepaskan peluang hujung minggu ini untuk mengunjungi karnival itu yang berlangsung hingga esok, sambil menyokong usahawan tempatan.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali melancarkan KBBM 2025 bertemakan ‘Jom Beli Lokal’, antara lain bertujuan memperluas penembusan produk tempatan ke pasaran lebih besar, serta mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.
-- BERNAMA