KUCHING, 26 Jun (Bernama) -- Australia menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam aspek kepakaran teknikal dan perkongsian pengetahuan, memandangkan pendekatan progresif negeri itu dilihat sebagai aset berharga dalam membentuk masa depan tenaga yang lestari.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata hasrat berkenaan dinyatakan oleh Menteri Perdagangan, Perniagaan dan Hubungan Asia bagi Northern Territory Australia Robyn Cahill semasa kunjungan hormat beliau ke atasnya semalam.
“Pertemuan itu memberi tumpuan kepada potensi kerjasama antara Sarawak dan Australia dalam bidang tenaga dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Hazland berkata dalam pertemuan itu, beliau telah berkongsi inisiatif utama Sarawak di bawah kementeriannya, termasuk Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P), Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 (SSB) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER) yang membentuk rangka kerja bagi peralihan negeri ke arah ekonomi hijau.
Beliau berkata mereka turut membincangkan peluang dalam aspek pembangunan kapasiti, kerjasama antara industri dan ahli akademik, serta projek perintis dalam bidang seperti penghasilan hidrogen, penangkapan karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
“Pertemuan ini menandakan satu lagi perkembangan dalam memperkukuh hubungan global Sarawak dalam bidang kelestarian alam sekitar serta mengukuhkan komitmen negeri terhadap kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran iklim dan tenaga,” katanya.
-- BERNAMA