AM

AKM ANJUR PROGRAM EKSPRESI MERDEKA BERMULA 5 JUN HINGGA 8 OGOS - FAHMI

26/06/2025 01:59 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) sedang menganjurkan program Ekspresi Merdeka menerusi pertandingan video kreatif bertemakan ‘’Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 bermula 5 Jun hingga 8 Ogos 2025.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata video yang terpilih sebagai pemenang di peringkat negeri akan dipertandingkan di peringkat kebangsaan yang dijadualkan berakhir pada 13 Sept ini.

“Pertandingan ini dianjurkan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menzahirkan semangat kemerdekaan melalui medium kreatif. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi dan akaun media sosial AKM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan MADANI berkata pelbagai aktiviti menarik turut dirancang sempena majlis penyampaian hadiah peringkat negeri pada 23 dan 24 Ogos, serta peringkat kebangsaan pada 13 Sept, termasuk sesi interaktif kenegaraan dan cabutan bertuah.

Beliau berharap program tersebut dapat merangsang kreativiti dan ekspresi rakyat dalam menyambut kemerdekaan secara lebih dinamik dan relevan.

Katanya program itu dianjurkan dengan kerjasama agensi kerajaan, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Kementerian Pendidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Pasaraya Mydin serta Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan.

Pada 11 Jun lepas, Fahmi mengumumkan tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ dipilih sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, manakala logo MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan