CHUKAI, 26 Jun (Bernama) -- Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya karam dipukul ombak di kedudukan kira-kira 33 batu nautika dari Kuala Kemaman, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata mangsa Wongnguan Supot, 53, sempat menghubungi bot berhampiran sebelum kejadian berkenaan.
Beliau berkata susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) pada 9.20 pagi tadi.
"Sebelum kejadian, mangsa sempat menghubungi bot berdekatan dan memaklumkan botnya yang sedang bersauh bocor dan dimasuki air akibat ribut kira-kira 10 malam.
"Selain bot PERKASA 49, Op Carilamat turut dibantu pesawat udara dari Subang," katanya ketika dihubungi.
Abdul Halim berkata pihaknya telah membuka pangkalan hadapan Carilamat di Pejabat Zon Maritim Kemaman bagi menyelaras operasi pencarian antara agensi.
-- BERNAMA