KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kehadiran PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC Malaysia) sebagai penyewa utama di Tun Razak Exchange (TRX) menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama perniagaan global serta memperkukuh ekosistem Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) Malaysia itu.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kehadiran PwC Malaysia di zon itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta memperkukuh integrasi serantau merentas ASEAN dan luar ASEAN.
“Majlis pecah tanah hari ini bukan semata-mata kejayaan bagi TRX malah juga bagi Kuala Lumpur.
“Merealisasikan potensi penuh Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan antarabangsa yang berdaya saing memerlukan penjajaran sepenuhnya dan pelaksanaan yang bersepadu di semua peringkat kerajaan, supaya kita terus memperkukuh kepusatan dan daya saing KL,” katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Pembangunan Baharu TRX di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Kewangan, Datuk Shahrazat Ahmad.
Pembangunan pejabat terbaru di TRX tersebut akan menjadi bangunan ke-10 di kawasan itu -- sebuah menara setinggi 39 tingkat dijadual siap pada suku kedua 2029.
Amir Hamzah berkata pelaburan bernilai lebih RM8 bilion telah direalisasikan di TRX dengan lebih 20,000 pekerja berasaskan pengetahuan berada di zon itu.
Peneraju global seperti HSBC, Prudential, Huawei, Apple dan Lendlease semuanya mengiktiraf nilai beroperasi di TRX, yang menjadi bukti kepada daya tarikan global TRX yang semakin meningkat, katanya.
Beliau berkata sebagai sebuah projek nasional, TRX menepati misi kerajaan untuk merancakkan semula landskap ekonomi Malaysia melalui Kerangka Ekonomi MADANI.
“Berasaskan rangkaian kukuh profesional yang mendapat manfaat daripada pengelompokan pemain industri utama dan jenama global terkemuka, TRX dengan yakin menawarkan yang terbaik dari ASEAN dan Asia.
“Manfaatkanlah mandat TRX sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) Malaysia untuk melengkapkan dasar pro-perniagaan negara yang sedia ada dan kukuh, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara lokasi terbaik untuk menjalankan perniagaan di peringkat global,” katanya.
TRX yang meliputi kawasan seluas 28.32 hektar telah diisytiharkan sebagai IFC Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Feb, 2024.
-- BERNAMA