EKONOMI

TRX BANGUNKAN MENARA KE-10, DIJANGKA SIAP MENJELANG SUKU KEDUA 2029

26/06/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Tun Razak Exchange (TRX) akan menyaksikan penambahan bangunan komersial ke-10 menjelang suku kedua 2029, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam pertumbuhan hab kewangan antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib berkata menara setinggi 39 tingkat yang sedang dibangunkan itu juga sebagai memenuhi peningkatan permintaan bagi ruang pejabat premium berikutan kadar penghunian bangunan sedia ada yang hampir penuh.

“Pelancaran menara baharu ini tepat pada masanya kerana (tindakan) kami berpandukan data serta permintaan dengan momentum kukuh dan jangkaan penghunian penuh dalam masa terdekat.

“Bangunan baharu itu akan mengetengahkan pelan lantai fleksibel, keselamatan pelbagai tahap, akses lebih mudah ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) selain menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang hanya menjadikan TRX sebagai tempat kerja yang bersedia bagi masa depan,” katanya pada majlis pecah tanah pembangunan baharu itu di sini, hari ini.

Azmar berkata firma PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia akan menjadi penyewa utama di bangunan berkeluasan 250,000 kaki persegi itu.

TRX dan PwC telah memeterai perjanjian utama dengan TRX City untuk pemindahan ibu pejabatnya dari KL Sentral ke menara baharu berkenaan.

“PwC mengambil sewaan selama 20 tahun bagi bangunan baharu ini. Sebagai pemaju utama TRX, peranan kami adalah untuk membiayai dan membangunkan projek itu.

“Bagi kemajuan masa depan, kami merancang untuk membawa masuk pihak lain dengan penjualan ekuiti dalam syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan bagi pembangunan ini,” katanya.

Azmar berkata TRX telah menyiapkan lebih sembilan juta kaki persegi keluasan kasar lantai yang merangkumi komponen pejabat, runcit, hotel dan kediaman yang kini hampir mencapai kadar penghunian penuh.

“Lebih 95 peratus projek penginapan telah berjaya dijual manakala penghunian bangunan pejabat yang beroperasi sekarang pula mencecah hampir 80 peratus berdasarkan ruang boleh sewa bersih.

“Semakin banyak syarikat-syarikat global memilih TRX, termasuk Ant International, Bin Zayed Group, Mitsubishi UFJ Financial Group Investor Services dan sebagainya.

“Pencapaian ini hanya memaparkan keyakinan kukuh terhadap potensi Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan dan kewangan.

“Selain itu, pelaburan bernilai lebih RM8 bilion telah dapat direalisasikan di TRX yang mempunyai keluasan 28.32 hektar dan lebih 20,000 pekerja yang berpengetahuan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan