KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) bakal mencipta sejarah sebagai institusi pertama di Malaysia yang menawarkan pembedahan rekonstruksi Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebagai prosedur penjagaan harian.
Jabatan Komunikasi Korporat HCTM dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan pembedahan rekonstruksi ACL secara penjagaan harian itu, menandakan satu kemajuan besar dalam bidang penjagaan kesihatan yang berpusatkan pesakit.
Unit Artroskopi dan Kecederaan Sukan, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM akan melaksanakan pembedahan berkenaan ke atas dua pesakit yang dijadualkan menjalani prosedur itu pada 30 Jun ini.
Dua pakar bedah yang menerajui pembedahan tersebut ialah Prof Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff dan Dr Muhamad Karbela Reza Ramlan.
"Pembedahan rekonstruksi ACL merupakan satu prosedur bagi mengembalikan kestabilan lutut dengan menggunakan cantuman (graft) bagi menggantikan ligamen yang telah koyak.
“Pasukan pembedahan akan menggunakan teknik Modified UKM Internal Bracing (MUIB) yang terbukti meningkatkan perlindungan dan kestabilan cantuman semasa proses pemulihan. Pendekatan ini juga mempercepatkan tempoh rehabilitasi serta membolehkan pesakit kembali kepada aktiviti harian dalam masa yang lebih singkat,” menurut kenyataan itu.
Secara tradisinya, pembedahan rekonstruksi ACL memerlukan pesakit dimasukkan ke wad selama beberapa hari bagi pemantauan pascapembedahan.
Bagaimanapun, menerusi kemajuan teknik pembedahan, kaedah pembiusan moden dan pengurusan rawatan susulan yang lebih efisien, prosedur itu kini boleh dilakukan secara penjagaan harian.
“Dengan pendekatan ini, pesakit hanya perlu berehat selama beberapa jam di hospital sebelum dibenarkan pulang pada hari yang sama.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan tempoh masa di hospital dan kos rawatan, malah turut meminimumkan risiko jangkitan hospital serta mempercepatkan proses pemulihan secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA