KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kem beregu campuran negara perlu menjadikan kejayaan dilakar beregu lelaki dan wanita negara sebagai motivasi untuk merangkul gelaran diidamkan tahun ini.
Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata beliau sememangnya mahu melihat anak buahnya meraih sekurang-kurangnya satu gelaran juara sebelum Kejohanan Dunia 2025 berlangsung di Paris bermula 25 hingga 31 Ogos ini.
“Beregu lelaki dan wanita sudah okey… hanya sektor beregu campuran (skuad kebangsaan) yang belum dapat kejuaraan tahun ini.
“Mudah-mudahan kita dapat hasil yang maksimum dan boleh juara satu daripada kejohanan di Terbuka Jepun 2025 atau Terbuka China 2025 nanti,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Terbuka Jepun 2025 dijadual berlangsung dari 15 hingga 20 Julai di Tokyo manakala Terbuka China 2025 pula pada 22 hingga 27 Julai di Changzhou.
Bekas juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik telah merangkul tiga gelaran musim ini bermula dengan Kejohanan Badminton Asia 2025 April lepas, diikuti dua lagi kejayaan pada Terbuka Thailand 2025 dan Terbuka Singapura 2025 bulan lepas.
Rakan senegara mereka Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga telah menjulang dua gelaran tahun ini iaitu Masters Indonesia pada Januari dan Masters Malaysia, bulan lalu.
Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah pula menjuarai Terbuka Thailand dan naib juara sebanyak dua kali pada Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia, awal bulan ini.
Sementara itu, Nova berpuas hati dengan perkembangan positif dipamerkan gandingan utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terutamanya dari aspek komunikasi antara mereka selepas disatukan semula April lepas.
“Mereka sudah tiada masalah dan nampak semakin seronok. Komunikasi sudah okey namun corak permainan masih belum capai tahap maksimum, diharapkan kita dapat manfaatkan waktu yang ada (tingkatkan prestasi) sebelum Terbuka Jepun,” katanya.
Pada Mac lepas, Persatuan Badminton Malaysia mengumumkan Tang Jie-Ee Wei dipisahkan bagi memberi ruang kepada jurulatih mencuba kombinasi baharu susulan ketegangan dalam hubungan mereka.
Berikutan itu, kedua-dua mereka mendapat gandingan baharu yang menyaksikan Ee Wei digandingkan dengan Loo Bing Kun, manakala Tang Jie pula berpasangan dengan Chan Wen Tse dan Terbuka Taiwan 2025 menjadi ujian pertama mereka.
Namun, pada April lepas BAM mengumumkan Tang Jie-Ee Wei kembali digandingkan susulan permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan menyeluruh antara pasukan kejurulatihan dan pemain.
Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China menjadi pentas pertama pasangan nombor empat dunia bergandingan semula sehingga berjaya membantu skuad negara mara ke suku akhir.
-- BERNAMA