KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Polis menerima tiga laporan berkaitan insiden semasa perhimpunan di ibu negara petang tadi termasuk pergelutan yang menyebabkan seorang anggota polis cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata perhimpunan itu, yang disertai kira-kira 100 orang, bermula pada 3.02 petang di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum berarak ke Dataran Merdeka, Jalan Raja.
Beliau berkata pada kira-kira 4.30 petang, seorang peserta bertindak membakar suar sehingga mengakibatkan kepulan asap tebal yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan peserta lain, petugas keselamatan serta orang awam di kawasan sekitar.
“Polis mengambil tindakan pencegahan untuk mengawal keadaan namun berlaku sedikit pergelutan antara peserta dan petugas Op Aman sehingga menyebabkan seorang petugas mengalami kecederaan ringan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sulizmie Affendy berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(5) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan tampil menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di 03-2600 2222.
Difahamkan, himpunan itu dianjurkan oleh badan bukan kerajaan bersama persatuan mahasiswa beberapa universiti tempatan dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan membanteras rasuah.
-- BERNAMA