AM

KURSUS AI ANJURAN BERNAMA BERI NILAI TAMBAH, PERSIAP PENGAMAL MEDIA HADAPI TRANSFORMASI TEKNOLOGI

26/06/2025 08:35 PM

JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- ‘From Zero to Hero’, mungkin itulah ungkapan paling tepat menggambarkan pengalaman peserta kursus ‘AI-Powered Content Creation & Editorial Automation’ anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini.

Kursus intensif selama dua hari bermula semalam yang disertai 30 pengamal media daripada pelbagai agensi termasuk wartawan sambilan itu, menyaksikan mereka didedahkan kepada asas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan video generatif secara asas dan penulisan skrip.

Wartawan Bernama Mohd Syazwan Mustafa, 28, berkata beliau berasa teruja memperoleh pendedahan baharu dalam bidang penghasilan video berasaskan AI yang sebelum ini disangkakan hanya mampu dikuasai golongan profesional.

“Dengan gabungan elemen seperti teks kepada imej dan video, integrasi suara AI serta penyuntingan menggunakan skrip, suara, animasi dan sari kata, saya kini lebih yakin untuk menghasilkan kandungan sendiri,” katanya pada hari terakhir kursus hari ini.

Wartawan The Star Venesa Devi Mhinder Singh, 30, pula menyifatkan kursus itu sebagai platform berharga dalam memperkukuh kemahiran penyuntingan kandungan AI menggunakan kaedah yang lebih sistematik dan profesional.

“Penggunaan teknologi AI amat penting bagi pengamal media masa kini untuk terus kekal relevan dan berdaya saing. Saya berharap Bernama dapat menganjurkan lebih banyak kursus seumpama ini kerana peluang sebegini agak sukar diperoleh di luar,” katanya yang telah tujuh tahun berkhidmat dalam industri kewartawanan.

Sementara itu, jurufoto sambilan Utusan Malaysia Raja Jaafar Raja Ali, 60, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang fotografi, menyifatkan penguasaan teknologi terkini sebagai keperluan mutlak termasuk bagi golongan veteran media.

“Selepas bersara secara sukarela menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS), saya masih aktif secara sambilan, justeru, saya melihat keperluan untuk terus mengikuti arus kemajuan teknologi agar karya yang dihasilkan kekal relevan dan berkualiti,” katanya yang memulakan kerjaya di Utusan Malaysia pada 1991.

Kursus yang merangkumi teori dan sesi praktikal (‘hands-on’) itu turut menyaksikan peserta membentangkan projek kumpulan pada hari terakhir dengan penghasilan video ringkas namun kreatif, sebagai tanda penguasaan kemahiran yang diperoleh.

Kursus dibimbing oleh dua pakar AI dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) iaitu Prof Madya Dr Azwa Abdul Aziz dan Dr Normala Rahim dan kesemua peserta menerima sijil masing-masing yang disampaikan Pengurus Pusat Kecemerlangan Bernama Ridzuan Mohd Ghazali.

“Penyertaan peserta dari zon selatan amat memberangsangkan malah mereka berjaya menghasilkan video yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga berkualiti,” kata Dr Azwa.

Johor merupakan lokasi ketujuh bagi siri penganjuran kursus itu selepas Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kedah, sebagai sebahagian inisiatif Bernama untuk mendigitalisasikan operasi editorial serta memperkasakan daya saing pengamal media di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan