SUKAN

DUA ANAKANDA AGONG PIKUL CABARAN MALAYSIA DI PERLUMBAAN 24 JAM SPA-FRANCORCHAMPS

26/06/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bakal membawa cabaran negara pada perlumbaan 24 Jam Spa-Francorchamps di Belgium pada 28 dan 29 Jun ini.

Kedua-dua anakanda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mewakili pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) itu akan menggunakan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R untuk berentap dengan 75 jentera lain dari seluruh dunia.

Baginda berdua akan bergandingan dan memandu secara bergilir bersama Alexander Sims dan Jordan Love.

Tunku Abdul Rahman berkata keutamaan baginda berdua pada perlumbaan GT3 antara yang terbesar musim ini itu, adalah berlumba sehingga ke penamat sebelum cuba menyasarkan kemenangan.

“Sebagai sebuah pasukan, perjalanan kita masih jauh dan kita mahu jadi antara yang terbaik.

“Kita bersyukur dengan perkembangan positif setakat ini, namun ini hanya permulaan. Ada banyak lagi pasukan dan kereta yang hebat,” menurut baginda dalam hantaran di laman Facebook The Royal Johor, hari ini.

Tunku Abu Bakar dalam hantaran sama menyifatkan penyertaan kali ini membuka peluang pasukan untuk terus menggilap bakat permotoran tempatan Malaysia.

“Ini merupakan tahun pertama kita bergerak sebagai sebuah pasukan sendiri. Ada beberapa ahli pasukan kami dari Malaysia dan tumpuan kita adalah untuk menggalakkan bakat dari Malaysia untuk bersama kita di peringkat antarabangsa.

“Kita bukan sahaja menyasarkan kejayaan, sebahagian daripada hasrat kita adalah untuk membawa rakyat Malaysia bersama kita untuk mencapai matlamat kejayaan itu,” katanya.

Penonton di Malaysia boleh menyaksikan perlumbaan 24 Jam Spa-Francorchamps menerusi pautan https://www.youtube.com/live/ohBUUFVWqoU?si=Bj49e4KH6e-5CgIb.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan