IPOH, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perak mahu memperkukuh sektor Pendidikan Teknikal dan Latihan dan Vokasional (TVET) terutama dalam bidang kulinari yang dilihat mampu menjanjikan pendapatan lumayan kepada anak tempatan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata peranan TVET dalam industri kulinari kini semakin penting kerana masakan bukan lagi dilihat sebagai kemahiran teknikal tetapi satu bentuk seni dan inovasi yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.
“Secara kebetulan kita di Perak ini sedang melancarkan program TVET secara besar-besaran dan satu daripadanya ialah bidang kulinari...saya selalu sebut jangan pandang rendah kepada bidang kulinari kerana terbukti (kerjaya) chef ini mempunyai pendapatan lumayan serta kedudukan yang dihormati.
“Di televisyen banyak menunjukkan (program masakan) dan orang Malaysia sangat suka melihat rancangan ‘Master Chef’, dan hari ini pula kita bawa ke Perak Pertandingan Malaysia Culinary World Cup Tahun 2025 (MCWC 2025),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pertandingan itu di sini hari ini.
Beliau berkata bidang kulinari kini bukan setakat masakan dan persembahan tetapi berkaitan dengan keupayaan, kreativiti dan inovasi, oleh itu Perak tampil dengan kekuatan tersendiri tidak hanya menjadi lokasi tetapi turut menyediakan ekosistem latihan kemahiran yang tersusun melalui rangkaian hab TVET yang luas dan berdaya saing.
Saarani berkata penganjuran acara itu di Perak adalah langkah tepat dalam memperkasakan industri kulinari dan menyokong aspirasi menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara seperti yang digariskan dalam agenda Perak Sejahtera 2030.
Terdahulu, beliau merasmikan MCWC 2025 yang julung kali diadakan di Perak melibatkan kira-kira 800 perserta dari 16 negara, dengan 65 kategori dipertandingkan.
-- BERNAMA