AM

KEKANGAN KEWANGAN DIHADAPI REMAJA KE IPG DAPAT PERHATIAN MENTERI PENDIDIKAN

27/06/2025 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Kekangan kewangan dihadapi seorang remaja lelaki untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) mendapat perhatian segera daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini.

Dalam satu hantaran melalui media sosial sempena sambutan Maal Hijrah, Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memaklumkan isu itu kepadanya dan menyatakan bahawa pasukannya sedang berhubung dengan keluarga remaja terbabit.

“Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anakanda ini meneruskan pengajiannya ke IPG.

“Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan!,” katanya.

Sebelum ini, tular kisah remaja itu melalui laman sosial apabila dilaporkan media bahawa mungkin tidak dapat melanjutkan pengajian di IPG Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang akibat kekangan kewangan yang dihadapi keluarganya ekoran ayahnya hanya seorang penoreh getah manakala ibunya tidak bekerja serta menghidap kanser tahap empat sejak lebih setahun lepas.

Muhammad Syahmi Azril Saidiljamal, 18, berkata dia menerima tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan dijadualkan mendaftarkan diri di IPG itu pada 11 Ogos ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan