GEORGE TOWN, 27 Jun (Bernama) -- Seorang pengurus analisis di sebuah kilang di Bayan Baru di sini, kerugian RM300,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan cinta atau love scam menerusi media sosial.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kejadian bermula apabila wanita berusia 45 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki yang mengaku sebagai warganegara Amerika Syarikat melalui aplikasi Facebook pada November tahun lepas.
“Tidak lama kemudian, mereka mula berhubung melalui aplikasi WhatsApp selepas lelaki terbabit menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan serius dengan mangsa.
“Suspek memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang menjalankan perniagaan di sebuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Alwi, selepas sebulan berkenalan, suspek memberitahu kononnya akaun bank miliknya telah disekat di negara tersebut dan dia memerlukan bantuan kewangan daripada mangsa bagi menyelesaikan urusan penghantaran stok penting untuk perniagaannya.
Mohd Alwi berkata suspek turut berjanji akan memulangkan wang tersebut dan sebagai tanda penghargaan, dan akan memberikan bayaran tambahan kepada mangsa.
“Akibat terjerat dengan cinta maya dan kerana terlalu mempercayai suspek, wanita itu telah melakukan sebanyak 16 transaksi ke lima akaun bank berbeza antara 12 hingga 14 Disember 2024,” katanya.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas suspek meminta bayaran tambahan, kononnya untuk menampung perbelanjaan ke Malaysia bagi bertemu dengannya, serta menghantar gambar pasport yang telah diubah suai.
Mohd Alwi berkata mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya semalam, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA