TUMPAT, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menghargai komitmen serta sokongan berterusan daripada persatuan seni dan warisan dalam menjayakan program di bawah inisiatif Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang dilaksanakan setiap tahun.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kementerian sentiasa prihatin terhadap keperluan penganjur acara berteraskan seni, budaya dan warisan serta bersedia membantu menampung sebahagian kos penganjuran menerusi geran berkenaan.
“Saya amatlah berharap pihak agar persatuan seni budaya dan warisan tidak berputus asa dalam membantu usaha kementerian menyebarluaskan agenda seni budaya seperti digariskan dalam Teras Dasar Kebudayaan Negara,”katanya ketika merasmikan Festival Citrawarna Siam Malaysia Negeri Kelantan 2025 di Wat Machimmaram di sini malam ini.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjadikan kepelbagaian seni dan budaya sebagai aset penyatuan kaum serta berganding bahu menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal berlangsung tahun hadapan.
-- BERNAMA