AM

SELANGOR LANCAR FASA PERTAMA SILP BERNILAI RM500 JUTA

28/06/2025 12:41 PM

SEKINCHAN, 28 Jun (Bernama) -- Pembangunan fasa pertama Projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Selangor (SILP) bagi memperkukuh sektor perikanan negeri dilancarkan hari ini melibatkan pelaburan sebanyak RM500 juta.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata projek yang bakal bermula menjelang akhir 2026 itu juga dijangka dapat memberikan nilai tambah kepada dasar keterjaminan makanan negeri itu seperti Gudang Makanan Selangor. 

"Untuk fasa pertama projek ini ia melibatkan pembinaan jeti kompleks pemunggahan ikan, lebih kurang 30 hingga 40 parkir bot penangkap ikan, dan apartmen servis. 

"Fasa-fasa seterusnya akan melibatkan kawasan membaiki, menyelenggara ataupun penghasilan bot, diikuti pembangunan kawasan pelancongan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran SILP di sini hari ini. 

Amirudin berkata projek berkenaan dijangka dapat meningkatkan hasil pertanian negeri sebanyak lima peratus sekali gus meletakkan kawasan pantai barat Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi jangka panjang. 

Beliau berkata SILP juga disasarkan untuk dijadikan sebagai model terbaik pengurusan ekosistem industri perikanan kepada negeri-negeri lain seperti sistem padi dua tahun yang diamalkan di Sekinchan. 

"Pertanian secara keseluruhan termasuk perikanan setakat ini sumbangannya kepada ekonomi Selangor hanya satu peratus.

" … kita luluskan pembinaan kolam udang di Sabak Bernam dan Kuala Selangor, dicampur dengan pembangunan tapak pertanian yang akan dibangunkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kita jangka akan meningkat lima peratus dalam Rancangan Selangor seterusnya sama ada yang kedua atau ketiga," katanya. 

Fasa pertama SILP berkeluasan 33.9 hektar dengan jangkaan tempoh pembangunan selama lima tahun antara lain akan dilengkapi dengan dewan lelongan ikan, pasar ikan komersial, dok suai arus, hab logistik sokongan untuk pengedaran makanan laut dan perkhidmatan maritim serta penambahbaikan pesisir termasuk pantai awam baharu. 

SILP juga merupakan komponen utama dalam Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), sebuah inisiatif wilayah di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1). 

-- BERNAMA 


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan