SHAH ALAM, 28 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat melawat Galeri TAPAK, milik pelukis dan pengkarya seni tersohor Yusof Ghani di Seksyen 8 di sini.
Baginda meluangkan masa hampir 40 minit melihat hasil karya pelukis kelahiran Johor itu yang telah dipamerkan dalam pelbagai pameran seni tempatan dan antarabangsa.
Antara lukisan popular Yusof yang dipamerkan di galeri yang dibuka sejak 2009 dan menarik perhatian baginda adalah Segerak, Biring, Wajah dan Ombak.
Sultan Sharafuddin yang juga penggemar karya seni lukis turut berkenan melancarkan buku mengandungi karya terbaharu Yusof iaitu ‘Cenderawasih Energy and Emotion’ yang dihasilkan pada 2022.
Baginda turut berkenan menyaksikan Yusof melakukan demonstrasi melukis karya terbaharunya itu yang diinspirasikan daripada burung Cenderawasih.
Yusof merupakan pelukis tersohor negara yang memulakan kariernya pada awal 1980-an.
Hasil lukisan beliau pernah dipamerkan dalam pelbagai pameran seni antarabangsa termasuk di Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Kanada.
Selain Segerak, Biring, Wajah dan Ombak, lukisan popular beliau yang lain seperti Tari, Protest, Topeng, Wayang serta Hijau.
-- BERNAMA