AM

MONSUN BARAT DAYA: BEKALAN TANAMAN, TERNAKAN TERKAWAL - MOHAMAD

28/06/2025 05:47 PM

SHAH ALAM, 28 Jun (Bernama) -- Bekalan tanaman dan ternakan di seluruh negara masih terkawal di sebalik fenomena cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan atau maklumat berkaitan isu bekalan bagi kedua-dua sektor tersebut yang terjejas teruk.

“Aduan itu ada tetapi hanya melibatkan kes terpencil dan menyeluruh…hanya aduan biasa dan ia kerana faktor cuaca sama ada ketika banjir atau kemarau.

"Setakat ini, kita dapati tidak banyak (bekalan) yang terjejas dan keadaan masih lagi terkawal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian@KPKM di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) melaporkan Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei lepas dijangka berlarutan hingga September depan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata industri kelapa turut berpotensi menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara seperti nanas.

Beliau berkata selain pasaran yang besar bagi kelapa tua, kelapa muda juga mempunyai permintaan tinggi termasuk dari luar negara terutamanya China. 

"Bekalan kelapa tua kini giat dihasilkan terutama di Sabah. Tanaman ini dilihat mampu mencatat nilai jualan luar biasa seperti nanas yang melebihi RM1 bilion," katanya.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan memuji Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan sektor nanas negara dalam meningkatkan pengeluaran nanas negara sehingga melepasi RM1 bilion.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan