LABUAN, 28 Jun (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) 2025 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Julai ini dijangka menerima sambutan luar biasa dari seluruh Kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia dan Brunei hasil promosi serantau yang giat dijalankan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijangka berkenan mencemar duli menghadiri festival bunga berprestij itu yang bakal menjadi antara acara pelancongan utama di pulau ini tahun ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Wilayah Persekutuan di Dorsett Grand Labuan di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata festival berkenaan dijangka menarik sehingga 50,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya termasuk dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei dan Indonesia.
“Setakat ini, maklum balas yang diterima amat menggalakkan hasil usaha promosi bersepadu yang diterajui Perbadanan Labuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Momentum sambutan ini bukan sahaja dirasai di Malaysia malah di seluruh rantau Borneo,” katanya.
Bagi merancakkan lagi kehadiran pengunjung, beliau berkata Malaysia Airlines akan menawarkan diskaun 15 peratus bagi penerbangan ke Labuan sekurang-kurangnya seminggu sebelum acara berlangsung, sekali gus memudahkan urusan perjalanan pelawat.
Festival Flora Borneo 2025 bakal mengetengahkan kekayaan biodiversiti dan keindahan budaya Borneo menerusi pameran flora, persembahan taman, instalasi bertemakan ekologi serta pertunjukan kebudayaan yang menjanjikan pengalaman penuh warna-warni dalam meraikan alam dan warisan.
Dr Zaliha turut memaklumkan Brunei akan ditawarkan peluang menjadi tuan rumah Festival Flora Borneo 2026 sekiranya negara itu menyatakan minat, sebagai sebahagian daripada kerjasama serantau mempromosikan kelestarian alam sekitar dan pelancongan di rantau ini.
-- BERNAMA