AM

PENGUSAHA NANAS SIFATKAN KEMPEN JOM BELI LOKAL BERUPAYA STABIL HARGA PASARAN

29/06/2025 12:40 PM

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Pengusaha nanas menyifatkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bertemakan “Jom Beli Lokal” berupaya menstabilkan harga pasaran dan memastikan permintaan berterusan bagi hasil pertanian tempatan.

Pengusaha nanas dari Samarahan, Sarawak Mohd Nasry Mohd Nasir, 38, berkata langkah itu juga mampu memberi jaminan pasaran lebih kukuh kepada pekebun sekiranya pengguna membeli produk tempatan secara konsisten.

Beliau berkata ia sekali gus akan meningkatkan permintaan pelbagai varieti tempatan.

“Inisiatif itu secara keseluruhan sangat bagus kerana ia turut membantu meningkatkan pendapatan pengusaha, selain menonjolkan kualiti nanas kita, khususnya setanding dengan (nanas) luar negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025 di sini semalam.

Beliau yang mengusahakan perniagaan keluarga sejak tiga tahun lepas dengan keluasan tanaman lebih 100 ekar itu berkata kempen berkenaan juga akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada peraih jika ia dijalankan dalam tempoh yang lama.

"Di Sarawak, contohnya nanas Moris ini lebih murah berbanding nanas lain dengan harga pasaran kira-kira RM10 untuk tiga biji dan kalau dijual kepada peraih dalam RM2.50 sebiji.

"... ada peraih yang menjualnya dalam RM10 untuk dua biji sahaja, jadi sebenarnya apabila kempen ini diperkenal, ia sedikit sebanyak mampu kurang kebergantungan terhadap peraih dan pembeli dapat membeli dengan kita secara terus dengan harga lebih murah," katanya. 

Sementara itu, pengusaha nanas dari Johor, Mohd Zulafiq Nordin, 38 berkata inisiatif itu mampu membantu pekebun kecil dan sederhana menembusi pasaran lebih luas termasuk pasar raya dan jualan dalam talian.

Beliau berkata langkah itu akan membantu meningkatkan penjualan nanas yang mempunyai gred lebih rendah, namun masih berkualiti.

"Biasanya peraih akan ambil gred A untuk dijual di pasaran, jadi gred kecil yang tidak menepati pilihan selalunya pengusaha ambil inisiatif jual sendiri.

"Jadi bagi saya, bila diperkenal inisiatif sebegini, kita pekebun dapat tawar lebih banyak pilihan," katanya.

Beliau yang mengusahakan tanaman seluas 10 ekar di Kulai sejak tiga tahun lepas, bagaimanapun berharap kerajaan berkongsi maklumat lanjut bagaimana pengusaha boleh turut serta dalam mempromosikan hasil tani atau produk jualan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 27 Jun lepas melancarkan KBBM sebagai usaha merancakkan penjualan produk tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dilapor berkata kempen itu memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan nilai jualan serta penembusan produk tempatan, memperkukuh pertumbuhan ekonomi domestik dan membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

KBBM turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan melalui pendekatan senegara dan  dilaksanakan secara fizikal melalui promosi di premis perniagaan selain diperluas ke platform e-dagang, dengan kerjasama pengendali utama platform berkendan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan